fbpx
ANAK kelahiran Selangor, Sharizan menunjukkan nasi lemak ayam goreng yang dijualnya di Secret Flavor Nasi Lemak di Shanghai, China.

Penduduk China sangat suka nasi lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ramai antara kita lebih selesa mencari rezeki di tanah air sendiri, namun tidak buat Sharizan Mohd. Rafi Kanan.

Pemuda berusia 38 tahun itu sanggup merantau jauh bagi mencari rezeki di negara orang dengan mengusahakan perniagaan menjual nasi lemak.

Malah kini, perniagaan nasi lemak yang diusahakannya di Shanghai, China mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Sekarang nasi lemak yang saya sediakan terjual lebih 400 bungkus sehari, malah pernah mencapai 600 bungkus sehari.

“Penerimaan orang China terhadap nasi lemak amat baik dan mereka sangat suka dengan hidangan yang menjadi warisan negara kita ini,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Cef Shah ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Dia yang telah lebih 15 tahun menetap di China mempunyai dua buah kedai makan di Shanghai iaitu Secret Flavor dan Secret Flavor Nasi Lemak.

Di Secret Flavor, Cef Shah memberi fokus menjual pelbagai makanan Malaysia seperti mi goreng, kari kepala ikan, kari laksa dan lain-lain lagi.

Manakala di Secret Flavor Nasi Lemak, dia hanya memberi fokus kepada penjualan nasi lemak.

Menariknya, dia kini mempunyai tenaga kerja seramai 25 orang di kedua-dua kedai tersebut.

Mengulas tentang keistimewaan nasi lemak yang dijualnya di China, Cef Shah berkata, dia tidak menggunakan air biasa untuk menanak nasi lemak berkenaan.

“Saya tidak masak nasi lemak ini menggunakan air biasa, sebaliknya menggunakan air kelapa.

“Saya guna kaedah ini kerana ingin mencuba satu benda baharu serta menjadikan nasi lemak lebih lembut dan wangi.

“Saya guna air kelapa muda, jadi rasa nasi lemak ini lagi sedap.

“Pada masa sama, penduduk di China ini memang suka dengan air kelapa,” jelas pemuda berasal dari Selangor itu.

NASI lemak ayam goreng ini dijual pada harga RM34 termasuk segelas air minuman.

Tambahnya, dia turut menyediakan beberapa lauk tambahan untuk nasi lemaknya seperti ayam goreng, kari daging, rendang daging, sambal udang dan ikan goreng.

Harga bagi sebungkus nasi lemak biasa dijual pada harga 35 yuan (RM23), manakala sebungkus nasi lemak ayam yang disertakan bersama segelas air berharga 52 yuan (RM34).

Dalam pada itu, menceritakan tentang perjalanannya sehingga berjaya menjual nasi lemak di negara Tembok Besar itu, Cef Shah menjelaskan, dia telah membuka kedai makan di sana hampir 10 tahun.

Terangnya, sebelum ini, dia selalu bersama Tourism Malaysia untuk mempromosikan makanan warisan negara di China.

“Tempat pertama yang saya pergi adalah Chengdu. Di sana saya lihat orang China boleh terima makanan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk membuka kedai pertama di Shanghai kira-kira 10 tahun lalu,” terangnya yang turut dibantu adiknya di sana.

Selain itu, Cef Shah berkata, pada masa yang sama, dia dapat mempromosikan makanan Malaysia kepada orang China.

Malah, dia menghasilkan video tentang cara pembuatan dan makan nasi lemak, sebelum ditayangkan di skrin besar dalam kedainya.

“Bagi pelancong China yang pernah melawat Malaysia, mereka mungkin pernah merasai nasi lemak ini.

“Bagi penduduk tempatan yang belum pernah datang ke Malaysia, saya menggunakan kaedah promosi nasi lemak kepada mereka,” terangnya.

Tambahnya, dia berani mengambil risiko untuk membuka kedai tersebut kerana mengetahui bahawa orang China suka mencuba.

Jadi, apabila dia menjual hidangan yang sedikit berbeza, mereka pasti akan mencubanya.

Dalam masa sama, dia juga mendapat kepuasan apabila dapat memperkenalkan makanan warisan Malaysia kepada orang luar.

CEF SHAH (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama Ismail Sabri (tiga dari kiri)
di depan kedai makan Secret Flavor.

Menariknya, kedai yang diusahakan itu bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan, malah mereka dari Malaysia, Singapura dan Indonesia turut mengunjunginya.

Malah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menikmati juadah nasi lemak di situ.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga pernah menjamu selera di kedai tersebut ketika beliau mengunjungi China.

Mengulas lanjut, Cef Shah berkata, ketika mula mengusahakan kedai makan tersebut, dia berhadapan dengan beberapa cabaran terutamanya untuk mendapatkan bahan mentah daripada pembekal halal.

“Dahulu, untuk mendapatkan bahan mentah yang halal, saya akan cari di kedai-kedai berdekatan dengan masjid.

“Di Shanghai ini, ada enam buah masjid.

“Namun, setelah mengenali pembekal, urusan mendapat bahan mentah menjadi lebih mudah,” katanya.

Selain itu, cabaran lain yang dihadapi sudah semestinya ketika pandemik Covid-19.

Menurut Cef Shah, pada waktu itu, kedainya harus ditutup selama tiga bulan.

“Ketika itu, jualan jatuh sebab kedai tidak dapat dibuka. Bagaimanapun, pemerintah China ada beri sewa percuma selama enam bulan.

“Cabaran lain yang harus saya tempuh adalah kadar sewa kedai yang boleh dikatakan agak mahal,” ujarnya.

Mengulas mengenai masa depan, Cef Shah berkata, dia sebenarnya mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu.

Bagi kedai Secret Flavor Nasi Lemak, ia baru beroperasi selama tujuh bulan.

“Untuk Secret Flavor Nasi Lemak ini, saya mahu jadikannya sebagai francais dan menu signatur adalah nasi lemak.

“Saya bercadang ingin membuka lagi kedai ini di beberapa bandar seperti Guangzhou, Xi An dan lain-lain lagi.

“Ramai pelabur tempatan telah menyatakan minat untuk melabur dalam perniagaan ini.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, saya nak sempurnakan dahulu konsep kedai ini, sebelum mengembangkannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN