fbpx
TERDAPAT segelintir isteri sanggup merahsiakan mereka menjadi mangsa kekejaman rumah tangga kerana mahu menjaga aib pasangan. – GAMBAR HIASAN

‘Saya dipukul, diherdik, dikurung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Terdapat golongan isteri di negara ini yang sanggup didera secara mental dan fizikal seperti dipukul, diherdik dan dikurung oleh suami kerana bergantung kepada sumber kewangan pasangan mereka.

Malah, ada isteri yang menanggung azab selama hampir 20 tahun demi menjaga aib suami, selain tidak mahu melihat zuriat mereka membesar tanpa insan bergelar bapa di sisi.

Seorang mangsa dikenali sebagai Aida, 38, berkata, dia tidak pernah mengecapi kebahagiaan sepanjang 17 tahun berkahwin kecuali bersama tiga anaknya yang berusia setahun, 10, dan 16 tahun.

“Sejak mendirikan rumah tangga, apa yang saya lakukan semuanya salah di mata suami walaupun saya cuba menjadi isteri yang taat. Dia sahaja yang betul.

“Apa yang dia tidak pernah lakukan (sepanjang kahwin). Dia pukul, tengking dan kurung kami dalam rumah tanpa makanan dan minuman selama tiga hari,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Cerita suri rumah itu, tiga anak menjadi kekuatan buat diri­nya sepanjang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Aida mengakui, dia merahsiakan perbuatan kejam suaminya yang bekerja sebagai buruh daripada pengetahuan keluarga bimbang perkara tidak diingini berlaku termasuk diugut untuk dipisahkan dengan anak-anak.

“Saya tidak sampai hati melihat suami bergelar banduan, jadi saya pendamkan kesakitan selama ini,” katanya.

Bagi Suzana, 43, pula, dia tidak sanggup melihat anak-anaknya dibesarkan tanpa lelaki bergelar bapa meskipun sudah beberapa kali suaminya berusia 45 tahun ditangkap atas kesalahan pe­nyalahgunaan dadah.

“Saya sanggup bergolok-gadai untuk membayar wang jaminan setiap kali suami dituduh di mahkamah. Namun, sikap barannya tetap tidak berubah.

“Perkataan sayang hanya diucap­kan apabila dia ditangkap dan didakwa di mahkamah. Apabila bebas, dia mula tunjuk taring dan naik tangan.

“Dia juga berkelakuan baik di hadapan orang termasuk ­keluarga, jadi siapa yang akan percaya jika saya mengadu,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa keganasan rumah tangga yang mahu dikenali sebagai Nur, 27, membe­ritahu, dua anaknya yang masih kecil menjadi ‘pengikat’ hubu­ngannya bersama suaminya biarpun lelaki itu panas baran.

“Suami memang seorang yang pemarah dan suka angkat ta­ngan.

“Jadi setiap kali dipukul, saya kunci mulut kerana mahu menjaga nama dan status suami.

“Saya juga bertahan sehingga sekarang kerana anak-anak kami masih kecil, mereka perlukan kasih sayang seorang bapa.

“Saya pula hidup sebatang kara, tiada tempat lain untuk dituju dan bergantung,” katanya.

Jelas Nur, ketika berkenalan dengan suaminya pada tahun 2019, lelaki itu adalah pasangan yang penyayang, namun segala-galanya berubah selepas mereka menjadi pasangan yang halal.

“Lepas berkahwin, sikap panas barannya mula keluar, le­bih-lebih lagi jika tersalah cakap. Sepanjang empat tahun berkahwin, muka dan badan saya lebam diperlakukan oleh suami.

“Nak menyesal pun tiada gunanya. Saya berharap agar saya diberikan kesabaran dan kekuatan untuk terus bertahan demi anak-anak,” luahnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang wanita yang juga ibu kepada bayi berusia enam bulan yang mati dipercayai dibunuh bapa kan­dungnya di Beranang mengakui menjadi mangsa kekejaman lelaki tersebut.

Wanita berusia 20 tahun itu itu bagaimanapun tidak mahu mendedahkan perbuatan suspek dengan alasan mahu menjaga maruah suaminya selain takut akan dipukul lagi.

Susulan kejadian itu polis memberkas suspek yang ber­usia 38 tahun. Lelaki itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh bayinya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN