fbpx

Akaun Fleksibel tidak sesuai untuk empat jenis orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Bermula Sabtu ini, semua akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula mengikut pecahan iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).

Akaun Fleksibel menyediakan kemudahan menarik apabila akaun ketiga itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Tidak perlu lagi tunggu pengeluaran khas seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang dilaksanakan sebelum ini.

Bagi tempoh 11 Mei hingga 31 Ogos ini, ahli berusia di bawah 55 tahun akan diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera atau dikenali Akaun 2 sebelum ini sebagai jumlah permulaan Akaun Fleksibel.

Jika ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai jumlah permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada kekal dalam Akaun Sejahtera.

Dalam keterujaan pencarum untuk memindahkan wang tersebut, terdapat sekurang-kurangnya empat golongan yang tidak sepatutnya berbuat demikian.

Golongan pertama ialah mereka yang mempunyai sikap boros dalam berbelanja. Tidak dinafikan ramai dalam kalangan kita mempunyai sikap sebegini.

Mereka sukar mengawal diri dalam perbelanjaan. Pantang ada pesta jualan murah, harga runtuh atau produk-produk viral di pasaran, semua ingin dibeli, belanja macam tidak ingat dunia. Tambahan pula ketika ini segalanya di hujung jari sahaja.

Golongan kedua ialah mereka yang mempunyai cita rasa tinggi dan hanya pandang kenderaan mewah, pakaian berjenama, rumah besar serta barang-barang berharga, namun pendapatan cukup-cukup makan.

Individu seperti ini jika diberi peluang untuk mengeluarkan wang KWSP, habis semua duit akan dikeluarkan demi memuaskan nafsu.

Golongan ketiga pula mereka yang mempunyai tabiat suka berhutang. Tidak cukup dengan memiliki pelbagai jenis kad kredit, mereka turut membuat pinjaman peribadi. Belum habis hutang lama, buat hutang baharu.

Malah, sudah menjadi kebiasaan apabila semua barangan kini dibeli menerusi pakej ‘beli dahulu, bayar kemudian’. Jadi kesudahannya, hutang lama tidak pernah surut.

Golongan terakhir ialah mereka yang tiada senarai perbelanjaan bulanan, berbelanja tanpa mengikut jumlah pendapatan, sekali gus gagal membuat simpanan kewangan untuk keperluan kecemasan.

Mereka tidak dapat membezakan yang mana satu kehendak dan keperluan yang sepatutnya diutamakan dalam hidup.

Maka, golongan yang sesuai untuk memindahkan wang ke dalam Akaun Fleksibel adalah pencarum yang tidak mempunyai semua tabiat buruk kewangan seperti dinyatakan di atas.

Mereka cuma mengeluarkan duit KWSP pada waktu-waktu kecemasan dan keperluan mendesak sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI