fbpx

Pengurus besar, dua pegawai agensi kerajaan direman bantu siasatan kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keempat-empat suspek yang merupakan pegawai kanan Kada tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk prosiding reman. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan bersama dua pegawai kanan syarikat itu direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah melibatkan projek pembekalan di negeri ini.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga Khamis itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Habri Muhamad.

Tahanan reman itu bagi membolehkan ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 17a Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam prosiding sama, seorang pegawai kanan di agensi terbabit yang ditahan pada 30 April lalu kerana disyaki membuat tuntutan palsu turut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis

Sebelum ini, pegawai kanan terbabit telah direman selama enam hari dan tempoh tahanan remannya tamat hari ini.

Terdahulu, keempat-empat lelaki berusia 40 hingga 49 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki van SPRM untuk prosiding reman.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pegawai kanan agensi tersebut dicekup SPRM selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Menurut sumber, lelaki yang berusia 40-an itu ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada 30 April lalu.

Terbaharu, tiga pegawai kanan termasuk pengurus besar agensi kerajaan itu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes meminta dan menerima wang rasuah bagi pelbagai projek termasuk pembekalan di negeri ini.

Ketiga-tiga lelaki itu dipercayai ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam semasa dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI