fbpx
Ahmad Sohaib memegang jubah yang akan dipakai ketika mengerjakan haji kelak ketika ditemui di rumahnya di Bandar Perdana, Sungai Petani semalam.

Panggilan haji: Menabung sejak usia 7 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Berkat ke­sungguhan menabung sejak kecil, seorang guru takmir di Kuala Muda di sini terpilih untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

Ahmad Sohaib Ahmad Shobri, 36, berkata, ibunya, Sazlina Hassan, 60, membuka akaun Tabung Haji (TH) sejak dia berusia tujuh tahun.

“Ibu mendidik saya dan adik-beradik yang lain supaya menabung. Sebahagian daripada wang tabungan TH itu merupakan ‘duit raya’ yang diberikan oleh saudara-mara setiap tahun sejak kami kecil.

“Sebaik menamatkan pengajian dalam bidang syariah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan dan bekerja, saya pula meneruskan amalan menabung dengan menggunakan wang gaji sendiri,” katanya ketika ditemui.

Menurut bapa tiga anak itu, dia bersyukur kerana terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini kerana pernah menolak panggilan ke Tanah Suci berikutan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Saya membuat persiapan mental dan fizikal dengan berlari selama satu jam setiap hari, mengamalkan tidur yang cukup selain menjaga pemakanan.

“Saya juga perlu kuat kerana terpaksa meninggalkan isteri (Nurul Aina Mohd Nadzri) serta tiga anak kami yang berusia dua hingga 11 tahun.

“Isteri saya belum layak untuk turut serta kerana simpanannya masih belum mencukupi,” kata­nya yang akan bertolak ke Tanah Suci pada 12 Mei ini.

Ahmad Sohaib turut berterima kasih kepada ibu dan bapa­nya, Ahmad Shobri Abdul Razak, 63, kerana berkat doa mereka dia dijemput menunaikan haji pada tahun ini.

“Sekarang saya pula mengikut jejak langkah ibu dengan menabung RM10 sebulan untuk ketiga-tiga anak sejak mereka lahir. Saya harap mereka juga akan terpilih menunaikan haji pada usia muda seperti saya.

“Memanglah panggilan haji ini bergantung kepada ‘jemputan Allah’, namun kita juga perlu membuat persediaan awal seper­ti menabung bagi menunaikan ibadah itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN