KUALA NERUS – Kebakaran Pusat Pelupusan Sampah Sungai Ikan di sini yang sudah memasuki hari keenam semalam bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah turut memberi kesan kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Menurut penduduk, mereka kini semakin tidak selesa dengan bau asap sehingga ada yang mendakwa tahap kesihatan terjejas dan memaksa sebahagian penduduk berpindah ke tempat lain buat sementara waktu.
Seorang penduduk, Suria Othman, 44, mendakwa, kehidupan keluarganya amat terjejas sejak pusat pelupusan sampah yang terletak hanya 200 meter dari perkampungan itu terbakar pada Jumaat lalu.
“Kami bukan sahaja bimbang api merebak ke perkampungan, tetapi ramai penduduk mengadu tidak boleh memasak kerana rumah serik diselubungi asap.
“Suami (Zahari Ismail, 48,) dan tiga anak kami pula sering batuk dan mengadu sakit dada akibat sering terhidu asap kebakaran,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kampung Sungai Ikan, Tepoh di sini semalam.
Suria berkata, dia dan suami bercadang meminta bantuan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh untuk berpindah sementara ke lokasi lain sehingga kebakaran terbabit berjaya dipadam sepenuhnya.
Sementara itu, Zulkifli Salleh, 54, pula mengaku terpaksa membawa enam ahli keluarganya termasuk seorang cucunya yang baru berusia setahun berpindah sementara di rumah kongsi kilang kayu tempatnya bekerja.
“Saya bimbang kebakaran tersebut akan menjejaskan kesihatan ahli keluarga terutama tiga cucu berusia antara satu hingga lima tahun yang menetap bersama.
“Asap kebakaran biasanya tebal pada waktu tengah hari, mungkin disebabkan suhu harian paling tinggi pada masa itu,” katanya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Muhammad Basri Kamarazaman, berkata, sebanyak kira-kira 67 peratus kebakaran Pusat Pelupusan Sampah
Sungai Ikan yang seluas empat hektar telah berjaya dipadamkan.
Beliau berkata, anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran itu dengan menggunakan purata 20,000 liter air sehari bagi tujuan itu.
Kosmo! 29 April lalu melaporkan 75 peratus pusat pelupusan sampah utama bagi daerah ini dan Kuala Terengganu terbakar dipercayai berpunca dari cuaca panas.













