fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: ‘Saya ada hutang, tapi bukan dengan along’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Azhari pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Wanita Gempur sempena Pilihan Raya Kecil dun Kuala Kubu Baharu, di Batang Kali, hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

HULU SELANGOR – “Saya memang ada hutang tapi bukan dengan along”.

Demikian kata calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari bagi menepis dakwaan beliau mempunyai hutang melibatkan syarikat kredit komuniti.

Khairul Azhari, 54 berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah berniat jahat untuk menjatuhkan imejnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Pada saya ini adalah satu fitnah jahat seperti mana yang telah berlaku pada penamaan calon minggu lalu.

“Saya diserang apabila wartawan bertanyakan kepada saya mengenai sijil kelayakan akademik saya. Bukan saya tidak mahu komen tapi bukan masanya ketika itu untuk mengajukan soalan yang saya tak buat (dan) saya tidak menipu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Wanita Gempur ‘Kuala Kubu Baharu Kita Bangkit’ di bilik gerakan utama PN, Bandar Baru Batang Kali, di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa bahawa Khairul Azhari memiliki hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat kredit komuniti.

Bagaimanapun, Khairul Azhari mengakui bahawa beliau sememangnya mempunyai hutang namun hanya melibatkan perniagaan serta pinjaman rumah dan kereta.

“Saya ada peniagaan sendiri dan saya rasa orang berniaga semua ada hutang. Saya tidak mengatakan saya tidak ada hutang tetapi yang penting bukan dengan along.

“Hutang dengan Ah Long pun kad bank dipegang, kita tidak kemana, rumah kena simbah cat tapi itu bukanlah saya,” ujarnya.

Tambahnya, dalam suasana pilihan raya, serangan peribadi dan caci maki calon daripada mana-mana parti adalah tidak baik untuk sistem demokrasi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI