fbpx

Pesawat terhempas ketika jalani latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang cedera di Felda Gunung Besout 2 Tambahan di Sungkai, Tanjung Malim semalam. - Foto IHSAN JBPM

TANJUNG MALIM – Pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk yang terhempas di kawasan ladang dekat Felda Gunung Besout 2, Sungkai di sini hari ini, berlaku ketika menjalani latihan penerbangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pesawat dengan nombor pendaftaran 9M ADA itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada pukul 9.38 pagi.

“Pesawat ringan kendalian Akademi Penerbangan Layang-Layang di Ipoh itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor untuk latihan penerbangan pada pukul 7.54 pagi.

“Bagaimanapun, ketika berpatah balik ke Ipoh, pesawat dikendalikan juruterbang dan seorang pelatih itu telah terhempas di kawasan ladang getah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah dan Ramah Mesra Raya Madani bersama warga Unit 69 Komando di Ibu Pejabat 69 Komando Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bilik operasi Akademi Penerbangan Layang-Layang menerima maklumat berkaitan kejadian itu sekitar pukul 9.55 pagi.

Katanya, operasi menyelamat mangsa segera dijalankan di mana kedua-dua mangsa yang berjaya ditemui dan mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

“Juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, patah kaki kanan manakala pelatih, Ho Jia Lee, 20, pula cedera di muka,” katanya.

Tambah beliau, lokasi nahas dikenal pasti merupakan kawasan hutan kecil dan dikelilingi pokok-pokok getah.

Katanya, kawalan ketat telah dilakukan di kawasan tersebut agar tidak diganggu dengan kehadiran orang awam selain memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

“Siasatan masih di peringkat awal, kita akan lihat dari pelbagai sudut.

“Buat masa ini, polis akan mengawal dan membuat pemantauan lokasi kejadian sebelum siasatan lanjut diambil alih oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI