GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung, Pos Brooke, di sini mendakwa mereka sudah penat berdepan gangguan gajah yang berulang kali sejak tujuh tahun lalu yang bagaikan tiada kesudahan.
Mereka mendakwa, ubi kayu dan pisang yang sepatutnya dijadikan keperluan makanan penduduk bagaimanapun habis dimakan oleh gajah.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Mendrod, Sarudin Johari berkata, kelibat dua hingga empat ekor gajah liar sering muncul hampir setiap malam.
“Kebanyakan penduduk takut untuk ke kebun getah pada setiap pagi kerana kerap terserempak dengan gajah.
“Setakat ini, ada kira-kira empat ekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan kebun yang boleh mengancam nyawa penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Rama Ajom, 44, pula berkata, dia menyaksikan sendiri kelibat gajah liar jantan berada berhampiran jambatan kampung pada waktu malam baru-baru ini.
Menurutnya, dia dapat melihat seekor gajah jantan bergading itu sedang memakan ubi kayu dan pisang.
“Kami bimbang dengan keselamatan nyawa terutamanya semasa keluar menoreh getah dan menghantar anak ke sekolah setiap waktu awal pagi.
“Penduduk sebelum ini pernah membuat beberapa laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun masalah tersebut nampaknya masih belum berjaya diselesaikan,” ujarnya.














