fbpx

Pesara tentera maut ketika kayuh basikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian mangsa dijumpai terbaring dalam kawasan semak di tepi Kampung Lembaga, RPT Kesedar Sungai Terah, Gua Musang semalam. -Foto PDRM

GUA MUSANG – Seorang pesara tentera maut selepas dipercayai terbabas ke dalam semak ketika mengayuh basikal seorang diri di tepi jalan Kampung Lembaga, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Wan Yusof Wan Jaafar, 48, dijumpai dalam keadaan terbaring berhampiran basikalnya di kawasan yang terlindung daripada pandangan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai keluar beriadah dengan mengayuh basikal seorang diri kira-kira pukul 8 pagi.

Beliau berkata, isteri mangsa cuba menghubunginya melalui telefon kerana mangsa tidak pulang ke rumah pada waktu seperti kebiasaannya.

“Isteri Wan Yusof turut memaklumkan kehilangan mangsa kepada rakan-rakannya sebelum ada antara mereka terus bertindak mencari lokasi semasa Wan Yusof melalui sistem penentu kedudukan global (GPS) telefonnya.

“Kira-kira pukul 2.30 petang, isteri mangsa dimaklumkan bahawa suaminya telah dijumpai di kawasan semak dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Choon Foo memberitahu, tiada unsur jenayah ditemukan ke atas mayat mangsa selepas siasatan dijalankan di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini dan hasil bedah siasat mendapati kematian lelaki itu berpunca daripada penyakit arteri koronari (CAD) iaitu arteri darah utama badan yang membekalkan jantung bergelut untuk membekalkan darah.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI