fbpx

Penolong pegawai perikanan didakwa makan suap sijil ikan hiasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhd. Shahrir (belakang kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang Penolong Pegawai Perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memperoleh suapan RM1,700 bagi mengeluarkan Sijil Kesihatan Ikan Hiasan dari Jabatan Perikanan Malaysia, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhd. Shahrir Sha’arani, 46, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhd. Shahrir sebagai Penolong Pegawai Perikanan Gred 32 yang bertugas di Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang berjumlah RM1,700 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun melalui akaun milik seorang wanita berusia 45 tahun.

Ini sebagai dorongan bagi tertuduh mengeluarkan Sijil Kesihatan Ikan Hiasan dari Jabatan Perikanan Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Seksyen 16 di sini pada 6 dan 8 Disember 2022.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawa Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa Mohd. Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 5 Jun depan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI