PUTRAJAYA – Jabatan Insolvensi Malaysia mendedahkan ada segelintir individu yang membuat pinjaman peribadi mencecah RM700,000 dengan beberapa buah bank walaupun hanya bergaji bulanan sebanyak RM4,000.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, M. Bakri Abd. Majid berkata, situasi itu memang benar-benar berlaku dan merupakan antara kes pelik yang pernah dikendalikan pihaknya.
Katanya, pinjaman tidak masuk akal oleh individu berusia 40an yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta itu menyebabkan dia jatuh bankrap akibat kegagalan menyelesaikan hutang bank.
“Kami di Jabatan Insolvensi terkejut apabila ada orang yang boleh mengambil pinjaman peribadi sehingga ratusan ribu ringgit dengan gaji yang rendah.
“Namun selepas disemak, memang lelaki tersebut ada hutang yang banyak dengan pelbagai bank. Bagaimana ia boleh berlaku, kami sendiri pun tidak pasti,” katanya ketika ditemui wartawan Kosmo! di pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia baru-baru ini.
Beliau turut mendedahkan, pinjaman peribadi merupakan punca utama yang menyebabkan seseorang itu jatuh bankrap diikuti pinjaman perniagaan, perumahan, sewa beli dan kad kredit.
Katanya, lebih mengejutkan apabila ada individu yang bekerja dalam sektor kewangan turut terbelit dengan hutang akibat membuat pinjaman peribadi di luar kemampuan.
“Kami pernah berjumpa dengan seorang akauntan yang berdepan dengan hutang yang serius. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana individu berkenaan bekerja dalam sektor kewangan.
“Bagaimanapun, disebabkan kurangnya pendedahan terhadap cara pengurusan kewangan yang baik, ramai yang tersalah langkah sehingga terpaksa bergelut dengan hutang yang banyak sehingga tidak dapat hidup dengan tenang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, M. Bakri berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan jika seseorang itu diisytihar bankrap kerana kesannya cukup besar sehingga individu tersebut perlu berhadapan dengan pelbagai jenis sekatan.
“Mereka yang disahkan muflis tidak boleh ke luar negara, akaun simpanan dan pelaburan akan dibekukan, tidak boleh menjalankan perniagaan dan tidak dibenarkan meminjam wang melebihi RM1,000 tanpa memaklumkan status kebankrapannya,” katanya.

Bagaimanapun, jelas M. Bakri, sekatan tersebut boleh dilonggarkan sekiranya individu yang muflis mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).
“Pertama sekali, mereka perlu beri kerjasama dan hadir di pejabat Jabatan Insolvensi secepat mungkin. Mereka juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh jabatan termasuk membayar ansuran bulanan tanpa gagal.
“Jika mereka akur, tidak ada masalah untuk orang yang bankrap ini buka satu akaun simpanan untuk kemudahan sendiri. Malah, mereka juga boleh ke luar negara ataupun menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongsian asalkan mendapat kebenaran daripada KPI,” ulasnya.
M. Bakri menambah, rakyat Malaysia seharusnya mengukur baju di badan sendiri serta menjalani kehidupan mengikut kemampuan dan tidak berbelanja mengikut hawa nafsu.
Katanya, apa yang merisaukan apabila belia zaman sekarang begitu mudah mencipta hutang.
Malah katanya, trend semasa menunjukkan bukan sesuatu yang di luar kebiasaan sekiranya seorang individu mempunyai lebih daripada satu kad kredit.
“Pinjaman seperti inilah punca utama bankrap. Apa yang mereka lakukan dengan duit tersebut? Ada yang ubah suai rumah, ambil pinjaman peribadi untuk berkahwin, beli kereta baharu dan sebagainya,” jelasnya.

Menurut data daripada Jabatan Insolvensi, pekerja swasta merupakan kumpulan paling ramai diisytihar bankrap pada tahun 2024 dengan jumlah sebanyak 487 orang, diikuti dengan individu yang menjalankan perniagaan (268 orang) dan pekerja sektor awam (201 orang).
Bagaimanapun, jumlah individu yang diisytihar bankrap didapati semakin berkurang dari tahun ke tahun, dengan jumlah sebanyak 8,351 orang direkodkan pada tahun 2020, 6,554 orang (2021), 5,695 orang (2022) dan 4,810 orang (2023).
Antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kes kebankrapan itu adalah disebabkan pindaan peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang menaikkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000.














