fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Noor Rahiza insan yang sangat baik, suka bantu orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Anis Amirah (kiri) bersama Allahyarham Noor Rahiza.

YAN – Sahabat karib kepada Bintara Muda Noor Rahiza Anuar, 39, yang maut dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu hubungannya dengan arwah terlalu akrab sehingga mereka digelar kembar.

Menurut Bintara Muda Anis Amirah Zolkifli, 37, pemergian sahabatnya dalam tragedi itu sangat mengejutkan kerana ia berlaku sekelip mata.

“Saya dah kehilangan kembar saya, tiada lagi kunjungan arwah ke rumah saya selepas ini. Sebelum ini hampir setiap minggu dia akan singgah ke rumah saya di Manjung, Perak selepas menghantar anaknya ke tuisyen.

“Rakan-rakan yang lain gelar kami kembar sebab kami terlalu akrab, malah kami juga ada banyak persamaan termasuk masing-masing mempunyai sepasang anak kembar,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, di sini malam tadi.

Katanya, dia mengenali arwah sejak 14 tahun lalu ketika mereka bertugas di unit yang sama di TLDM Kuantan dan Lumut dengan persahabatan mereka kekal sehingga kini meskipun sudah bertugas di unit berbeza.

Sementara itu, kata ibu kepada lima orang anak itu, dia dimaklumkan mengenai nahas tersebut oleh seorang rakan sebelum bergegas ke rumah arwah bagi melihat keadaan anak-anaknya.

“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sebaknya hati saya sebagai seorang ibu dan sahabat baik apabila anak-anak arwah datang memeluk saya sambil menangis memberitahu mama mereka sudah tiada.

“Saya rasa seperti mimpi, pemergian arwah secara mengejut sememangnya amat perit untuk kami terima kerana arwah seorang insan yang sangat baik dan suka menolong orang,” ujarnya.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan arwah adalah pada 17 April lalu dan arwah ada memaklumkan ingin menjemputnya sekeluarga beraya di rumah, namun belum sempat berbuat demikian disebabkan pelbagai kekangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI