fbpx

Bakar anak kucing hidup-hidup, 3 diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak membakar seekor anak kucing hidup-hidup. FOTO - Instagram Persatuan Haiwan Malaysia

KAJANG – Polis sedang mengesan tiga lelaki yang membakar seekor anak kucing hidup-hidup di tempat letak kenderaan Flat Sri Kenari, Sungai Ramal Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita warga emas tempatan berusia 63 tahun pada pukul 10.31 pagi tadi.

Menurut pengadu, seorang saksi yang juga penduduk di flat berkenaan telah ternampak seekor anak kucing sedang terbakar dan dia segera mencurah air untuk memadamkannya.

Katanya, pengadu menjumpai anak kucing itu dalam keadaan lemah dan segera menghantarnya ke Klinik Veterinar Swasta di Ampang.

“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku semalam kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Terdapat tiga suspek lelaki melepak di tapak letak kenderaan dan dua daripada suspek telah menyimbah bahan bakar ke atas anak kucing tersebut dan salah seorang menyalakan api.

“Ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing tersebut berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, anak kucing berusia enam minggu itu ditempatkan di sebuah Klinik Veterinar Swasta di Ampang susulan melecur tahap dua.

“Keadaan anak kucing agak kritikal dan perlu diletakkan di bawah pemerhatian rapi sekurang-kurangnya satu minggu.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah pun mengenal pasti suspek dan kini sedang giat mengesan suspek untuk membantu siasatan,” jelasnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana Balai Polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Suresh Krishnan di talian 0174333795 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI