fbpx

‘Allahyarham Tun Hanif pesan jaga negara betul-betul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahmat ketika ditemui pemberita di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam. -Foto SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Keperibadian dan dedikasi bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Hanif Omar terserlah apabila masih memikirkan keselamatan dan kedaulatan negara sehingga hujung nyawa.

Anak kedua Allahyarham, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berkata, ini selepas arwah bapanya berharap tidak berlaku kes di negara ini seperti serangan dilakukan Israel terhadap konsulat Iran di Damsyik, Syria.

Kataya, Allahyarham menitipkan pesanan agar sesiapa memimpin negara terus menjaga keselamatan daripada sebarang ancaman daripada pihak musuh.

“Ada dalam seminggu dua lepas, semasa Israel serang Konsulat Iran, beliau (Allahyarham Tun Hanif) berharap agar kejadian sebegitu tidak berlaku di Malaysia.

“Dia berharap siapa yang jaga Malaysia, kena jaga betul-betul negara ini. Sehingga akhir hayat pun arwah ayah masih fikir keselamatan negara,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 13 di sini hari ini.

Menurut beliau, Allahyarham yang merupakan Ketua Polis Negara keempat itu disifatkan mempunyai patrotisme yang tinggi berbanding keselamatan diri atau memikirkan kepentingan keluarga.

Ujarnya, Tun Hanif yang juga anak ketiga daripada lapan beradik juga banyak bercerita mengenai perjuangan pasukan keselamatan terutama semasa penentangan komunis semasa darurat pertama dan kedua.

“Arwah banyak cerita pasal itu (perjuangan polis) malah dia boleh ingat anggota yang jadi hero melawan komunis, meninggal bagaimana. Semua orang (anggota) dia ingat,” tegasnya.

Ekoran itu, kata Abdul Rahmat, pergorbanan jiwa dan tugas kepada negara turut membuatkan Allahyarham tidak pernah berada sepanjang isterinya, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid melahirkan lima anaknya.

“Semasa beliau pangkat bawahan ketika Deputi Superintendan dan sebagainya, dia sendiri tidak pernah ada semasa mak melahirkan anak-anak. Mak saya memang sendiri buat semuanya disebabkan arwah kena bertugas.

“Masa arwah kakak meninggal dunia, arwah berada di Bangkok bersama Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak bagi perbincangan penamatan konfrontasi Indonesia dan Malaysia. Jadi, sampai begitu sekali pergorbanan dan dedikasi arwah,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka sekeluarga tidak pernah menyalahkan arwah malah menyokong sikapnya itu demi menjaga keselamatan negara.

“Lepas pencen itu, dia ada memaklumkan sama ada terlampau lebih mementingkan negara atau diri sendiri. Bagaimanapun, kami menyatakan sekiranya dia tidak buat begitu, dia tidak menjalankan tanggungjawab dia menjaga berapa juta rakyat Malaysia,” katanya.

Bercerita mengenai corak didikan diterapkan Allahyarham Tun Hanif kepada mereka, Abdul Rahmat menjelaskan bahawa arwah merupakan seorang yang tegas kerana mahu anaknya-anaknya belajar berdikari dan mesti mengalami kesusahan hidup serta menyelesaikan masalah sendiri.

“Arwah sakit buah pinggang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi dan hanya menjalani dialisis pada Julai tahun lalu sehingga semalam. Cuma kerosakan buah pinggang terlalu teruk.

“Dia pulang ke rumah semalam daripada pusat dialisis pun dalam keadaan lemah tetapi sempat meminta minum dan makanan sebelum menghembuskan nafas pukul 2.15 pagi tadi,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai penghormatan pengebumian Allahyarham Tun Hanif di Makam Pahlawan, Masjid Negara dekat sini, Abdul Rahmat menjelaskan ia dipersetujui selepas perbincangan bersama ahli keluarga.

“Ayah saya sebenarnya tidak suka diagung-agungkan malah dia pernah memaklumkan supaya dikebumikan di tanah perkuburan arwah adik saya.

“Disebabkan kerajaan begitu berbesar hati di atas segala pergorbanan beliau semasa bertugas untuk negara bukan sahaja sebagai Ketua Polis Negara malah turut mencurahkan bakti kepada negara dalam nasihat kepada kerajaan, jadi kami bersetuju,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI