fbpx
TERUS hidup berkat ‘jangan mati rasa’ itu seperti judul lagunya, rezeki nyanyian Aina Abdul kini melimpah ruah. Ironinya, di sebalik lakaran gemilang yang diraih, terlalu banyak sebenarnya usaha dan kerja keras harus ditumpahkan.

Orang luar tahu nilai bakat saya – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPUH mengukir nama di langit industri muzik tanah air, nama Aina Abdul tidak lagi memerlukan pengenalan panjang.

Berkali-kali diiktiraf di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) baik menerusi lagu mahupun vokal, keampuhan jenama anak seni bertubuh genit itu mustahil diragui.

Bakal membuat persembahan pembukaan konsert buat penyanyi tersohor Korea Selatan, Ailee menerusi I Am: Here di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 22 Jun nanti, pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu bukan sekadar jaguh kampung

BAKAL membuat persembahan pembukaan konsert penyanyi Korea Selatan, Ailee Jun ini, Aina mengakui teruja dan menyifatkan berita gembira tersebut sebagai rahmat pembasuh duka hatinya.

Rezeki berterusan

Tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja, Aina menyifatkan tawaran tersebut sebagai penghormatan buat dirinya.

Kata pelantun lagu Imaji itu, tawaran disua ibarat rahmat di sebalik duka buatnya yang ketika itu sedang menghadapi fasa sukar.

“Ketika dapat berita penganjur berminat memilih saya membuat persembahan tirai konsert Ailee, waktu itu saya berada di titik paling rendah dalam hidup, awal tahun ini.

“Saya dalam kesedihan kerana ada perkara yang tidak begitu baik berlaku dalam kerjaya seni. Apabila diberitahu tentang tawaran ini, saya menangis, terharu seperti ada pelangi selepas hujan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus setuju. Syukur orang luar juga dapat melihat dan menilai bakat nyanyian saya, rezeki saya melimpah ruah,” katanya tersenyum.

Ditanya mengenai persiapan menjelang konsert berkenaan, penyanyi bersuara lantang itu bakal melantunkan tiga lagu dengan susunan muzik istimewa.

“Saya akan menyanyikan tiga buah lagu dengan susunan muzik yang segar dan istimewa, lagu apa yang bakal saya dendangkan, itu merupakan kejutan pada malam tersebut. Dinamik vokal juga akan berbeza.

“Mengenai penampilan saya pada malam itu pula, saya akan tampil biasa-biasa sahaja kerana itu adalah malam Ailee. Saya mahu meraikannya yang julung kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Tidak sempat berehat, Aina pada masa sama juga sedang sibuk dengan persiapan konsert bersama Malaysian Phiharmonic Orchestra (MPO) yang dijadual berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei hadapan.

Foto AINA ABDUL ENTERTAINMENT / GALERI HAJRA

Lantaran itu juga, dia dalam proses menurunkan berat badan memandangkan konsert tersebut menuntut stamina tinggi selain mengakui persembahan kelak mencabar kredibilitinya sebagai penyanyi.

“Saya sasar nak turunkan berat badan banyak lagi menjelang konsert bersama MPO. Saya perlu akui konsert kali ini sangat susah dan mencabar kerana muziknya orkestra penuh dan berat.

“Senarai lagu dinyanyikan nanti juga semuanya bernada tinggi, jadi saya perlukan banyak stamina.

“Kali ini saya mahu betul-betul tonjolkan diri sebagai penyanyi.

“Kalau sebelum ini ramai yang kata saya terlalu berfesyen sampai lupa profesion sebagai penghibur.

“Kali ini, saya mahu pendengar menghayati seorang Aina Abdul sebagai penyanyi,” tuturnya panjang lebar.

Dengan pengaruh dan julangan anugerah diraih, Aina juga dikejar deretan jenama popular termasuk air Spritzer dan tudung Galeri Hajra dengan menjadikannya duta produk.

Enggan terlalu larut dalam topik jadual seni yang sememangnya padat, penulis sempat bertanya pemenang anugerah Diva Terulung KNKV Viral Award 2024 itu mengenai sambutan Aildilfitri memandangkan masih berada dalam emosi Syawal.

JADUAL seni terisi padat, Aina kini sedang berhempas pulas menurunkan berat badan demi menjayakan konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei depan.

Baju raya sederhana

Memilih untuk bersederhana, wanita yang terkenal dengan gaya fesyen unik dan berbeza pada setiap persembahan itu mengakui lebih gemar mengenakan pakaian ringkas setiap kali sambutan Aidilfitri.

Meraikan lebaran di kampung halaman ibu di Mersing, Johor itu, dia selesa tidak berlebihan dan memilih menggayakan pakaian Melayu tradisional bagi menambah ‘mood’ hari raya.

“Setiap tahun pilihan baju raya saya ringkas saja. Begitu juga dengan tahun ini, tiada yang ekstravaganza dan lima pasang sahaja.

“Biarlah pakaian ‘mega’ hanya untuk persembahan pentas, di bawah pentas, saya hanya manusia biasa, sama seperti orang lain.

“Sejujurnya mata saya lebih tertarik kepada baju kurung Kedah dan baju kurung kain kapas (cotton). Pakaian begitu lebih estetik dan sesuai untuk digayakan insan bernama Nurul Aina,” katanya.

Paling utama kata Aina, Aidilfitri adalah saat untuk meluangkan masa bersama keluarga dan saling bermaafan, tidak kisah bagaimana rupa busana raya asalkan semua bergembira meraikan hari mulia.

MEMPUNYAI pengaruh tersendiri selain pelbagai anugerah dijulang, Aina kini menjadi duta kepada pelbagai jenama produk di pasaran.

Lagu raya

Tidak lengkap Syawal tanpa lagu raya, Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu meraikan Aidilfitri tahun ini dengan lagu berjudul Jalan-Jalan Hari Raya hasil ciptaan bersama Ezra Kong.

Ingin menampilkan kelainan, Aina berkata muzik dalam lagu tersebut sengaja dibikin rancak agar senang melekat dalam kepala pendengar.

“Saya memang akan buat lagu raya setiap tahun.

“Kali ini saya gunakan pendekatan lagu berentak ‘catchy’ sama seperti tahun lepas selepas mendapat sambutan menggalakkan.

“Syukur lagu tersebut diterima baik ramai peminat tetapi ramai juga kata tiada ‘vibes’ raya dan bandingkan dengan lagu raya lama.

“Saya tak kecil hati sebaliknya cuba perbaiki dan sedaya upaya hasilkan lagu raya yang membangkitkan suasana selain dekat dengan jiwa pendengar,” janjinya menutup bicara.

TAMPIL dengan lagu raya ‘catchy’, namun dikecam tiada vibes Aidilfitri, Aina terima segala pendapat dengan hati terbuka dan akan berusaha menghasilkan karya sempena Syawal lebih baik pada masa akan datang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN