fbpx

Saya belum layak pegang gelaran Biduanita Negara – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIANA berasakan dirinya belum layak dicalonkan untuk meraih gelaran Biduanita Negara.

PETALING JAYA – Sedar belum cukup pengalaman, penyanyi terkenal Ziana Zain menyifatkan dirinya tidak layak untuk dicalonkan sebagai penerima gelaran Biduanita Negara.

Menurut Ziana, anugerah tersebut hanya layak diberikan kepada anak seni serba boleh termasuk hebat dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

“Pengalaman saya baru 30 tahun dalam industri dan belum layak jika hendak diberikan gelaran Biduanita Negara. Perjalanan saya sebagai anak seni dalam industri ini pun belum sampai setengah abad.

“Ramai lagi artis senior saya yang lebih layak kerana mereka sudah lakukan pelbagai perkara dan bekerja kerjas pada zaman kegemilangan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini semalam.

Pelantun lagu Puncak Kasih itu menambah, generasi muda sekarang mungkin kurang mengenali artis tanah air yang terlebih dahulu menempa nama di persada seni tempatan dan antarabangsa.

“Orang muda kurang kenal dan mungkin pada zaman sekarang mereka (artis senior) tidak ke depan, jadi orang tidak tahu.

“Saya takut ada perasaan tidak adil kepada senior kita. Mereka adalah inspirasi untuk kami jadi lebih baik pada hari ini,” katanya lagi.

Penyanyi berusia 56 tahun itu mengulas mengenai namanya antara yang disebut sebagai anak seni yang layak memegang gelaran Biduanita Negara.

Enggan campur tanggan dalam urusan pemilihan, dia berkata perkara tersebut haruslah ditentukan oleh barisan panel juri yang lebih arif sebelum diberikan kepada artis yang layak.

“Datuk Sharifah Aini memang layak bergelar Biduanita Negara kerana bakat dan penglibatannya dalam bidang suara, pengacaraan dan lakonan. Itupun mengambil masa bertahun-tahun sebelum diiktiraf.

“Kita tak boleh calonkan diri sendiri. Setiap peminat memang mahukan yang terbaik buat artis kesayangan mereka, namun mereka golongan yang mungkin tidak faham maksud sebenar gelaran tersebut.

“Saya belum boleh terima gelaran itu, terlalu besar,” ujarnya.

Terdahulu, isu mengenai gelaran Biduanita Negara menjadi perdebatan hangat apabila peminat mencadangkan agar gelaran tersebut diberikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang telah banyak menjulang nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Bukan sahaja Siti Nurhaliza, nama penyanyi, Datuk Sheila Majid juga antara yang menjadi sebutan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi respons positif dan berkata pihaknya akan membuat penilaian bagi penganugerahan itu.

Sebelum ini, gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Sehingga kini, hanya tiga penyanyi legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI