fbpx

Mangsa tembak KLIA masih ditidurkan, perlu pemantauan doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Noraida dan suami, Muhammmad Nur Hadith yang kini sedang menjalani rawatan di Hospital Cyberjaya.

CYBERJAYA – Selepas dua hari menjalani pembedahan di Hospital Cyberjaya, pengawal peribadi yang terkena tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, dilaporkan masih perlu ditidurkan untuk rawatan lanjut.

Isteri mangsa, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya Muhammad Nur Hadith perlu ditidurkan bagi membolehkan petugas perubatan menjalankan pemantauan selepas menjalani pembedahan.

“Masih dalam pemantauan doktor, ubat tidur juga masih diberikan,” katanya ringkas kepada Kosmo!, di sini tadi.

Terdahulu, Muhammad Nur Hadith selamat menjalani pembedahan pada bahagian usus yang mengambil masa kira-kira lima jam di Hospital Cyberjaya pada Selasa.

Difahamkan, selepas menjalani pembedahan, pihak hospital akan melakukan pemantauan kesihatan usus mangsa bagi tempoh lima hingga enam hari.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status kesihatan terkini suaminya, Siti Noraida menjelaskan, beliau tidak dapat mengesahkan keadaan itu sama ada sudah beransur stabil atau dalam zon kritikal.

“Limpa dengan buah pinggang ada masalah, jadi mahu cakap stabil atau kritital, saya juga tidak pasti. Dia juga masih ditidurkan dan tidak ada reaksi balas (kepada sebarang pertanyaan),” jelasnya.

Mengulas lanjut, Siti Noraida juga berharap agar orang ramai terus mendoakan kesembuhan suaminya agar dapat kembali sihat seperti sebelum ini.

“Semoga semua berjalan lancar dan cepat sembuh. Minta doakan yang baik-baik untuk suami saya,” katanya.

Ahad lalu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian pukul 1.20 pagi di KLIA Terminal 1.

Bagaimanapun, wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

Suspek iaitu Hafizul Harawi, 38, juga telah ditahan polis dan kini sedang direman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI