fbpx

Elak motosikal, lima parah kenderaan bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN SUV Honda HRV dinaiki enam sekawan selepas terlibat dalam nahas di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka.

MELAKA – Lima parah, manakala dua lagi cedera apabila kenderaan yang mereka naik bertembung dalam nahas di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.19 itu, mangsa, Tuty Ermila Mohd, 49; Suzana Che Ros, 46; Zurain Zainal, 33, dan Natasya Amiera Zainal, 34 yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV mengalami kecederaan parah.

Dua lagi penumpang kenderaan sama, NurShahnisa Hamzah, 37, dan Sharifah Hazila Syed Othman, 42, mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, pemandu kereta jenis Mercedes E200 yang terlibat, Teo Boon Chye, 47, turut patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kemalangan kereta HRV tersebut yang dinaiki enam sekawan dalam perjalanan dari arah Jabatan Syed Abdul Aziz menghala ke Melaka Raya.

“Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dan setiba di lokasi, tiba-tiba datang sebuah kereta Mercedes dari arah bertentangan telah terbabas lalu memasuki laluan SUV berkenaan.

“Kedua-dua kenderaan itu telah bertembung dan menyebabkan empat penumpang SUV parah termasuk mengalami pendarahan dalam kepala, patah tulang rusuk dan pinggul serta kecederaan di kaki,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Melaka dan Pusat Perubatan Oriental untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ujarnya, hasil siasatan lanjut, nahas dipercayai berlaku apabila Mercedes tersebut cuai dalam pemanduan untuk mengelak motosikal.

“Pihak polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI