fbpx

Usaha sama Bursa Malaysia, Mobilist tingkatkan pelaburan dalam peralihan tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Wahid (kiri, berdiri) pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Bursa Malaysia dengan Mobilist di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) bekerjasama dengan program Mobilising Institutional Capital Through Listed Product Structures (Mobilist) dari United Kingdom (UK) untuk membolehkan pelaburan peralihan tenaga yang lebih besar dan memajukan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia.

Pengerusi Bursa Malaysia, Abdul Wahid Omar berkata, kerjasama itu memperkukuhkan usahanya untuk memacu inovasi, keutamaan dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kewangan mampan bagi penambahbaikan pasaran modal sekali gus untuk pembangunan ekonomi.

“Komitmen yang diberikan sebanyak £156 juta (RM1 bilion) bagi program Mobilist itu menyasarkan untuk memangkinkan pelaburan merentasi infrastruktur mampan, kewangan iklim dan kewangan inklusif di peringkat global.

“Menerusi produk kewangan yang boleh skala dan boleh ditiru, program ini bersedia untuk menggerakkan aliran modal institusi yang signifikan ke pasaran baharu muncul dan pasaran sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis menandatangani memorandum persefahaman itu di sini semalam.

Selain itu, Abdul Wahid berkata, program Mobilist adalah inisitiaf utama kerajaan UK yang direka bentuk untuk menjadi platform transformatif yang membolehkan perniagaan tempatan mengakses penyelesaian pelaburan perintis dengan memajukan SDG.

“Dengan memudahkan akses kepada modal yang diperlukan melalui program ini, kami menyediakan platform untuk perniagaan ini mengembangkan operasi dan meningkatkan sumbangan mereka kepada kemajuan ekonomi yang mampan.

“Pihaknya juga percaya bahawa penerbit dapat melaksanakan latihan pengumpulan dana di bawah teraju program Mobilist ini mampu menyerlah selain dapat menarik minat pelabur dan pihak berkepentingan yang memberi fokus terhadap pertumbuhan mampan serta inklusif,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI