fbpx

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di 7 negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan di tujuh buah negeri bermula 18 April hingga 9 Mei depan.

Menurut Sekretariat Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, tujuh negeri berkenaan melibatkan Johor pada 18 April, Sabah (20 April), Melaka (22 April) dan Kelantan (2 Mei).

Ia diikuti, Kedah pada 4 Mei, Pulau Pinang (5 Mei) manakala yang terakhir di Terengganu pada 9 Mei nanti.

“Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 20 April bermula pukul 10.30 pagi hingga 3 petang dengan Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah manakala Kementerian Perpaduan Negara sebagai kementerian peneraju.

“Johor pula menjadi negeri pertama pelaksanaan majlis berkenaan bertempat di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall bermula pukul 4 petang hingga 7.30 malam dengan Kerajaan Negeri Johor sebagai tuan rumah dan Kementerian Pertahanan sebagai peneraju,” katanya dalam kenyataan tadi.

Jelasnya, penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani ini adalah kerjasama antara kerajaan negeri selaku tuan rumah dan kementerian peneraju sebagai pelaksana bersama.

“Majlis ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri (Anwar) sebagai tetamu jemputan utama dan turut dihadiri oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan.

“Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping membolehkan pemimpin bertemu serta beramah mesra dengan rakyat,” ujarnya.

Sekretariat itu turut memaklumkan, majlis itu juga bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk meraikan hari kebesaran umat Islam bersama-sama di peringkat Persekutuan dan Negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI