SEBULAN berjuang menahan lapar dan dahaga, pastinya bulan Syawal disambut meriah tanda meraikan kemenangan.
Seawal 1 Syawal, sudah ada pihak yang menganjurkan rumah terbuka bagi menghimpunkan sanak saudara, jiran dan sahabat handai yang sudah lama tidak bersua muka.
Namun, dalam pada gamat berborak, tanpa disedari ada tuan rumah yang bermasam muka disebabkan anak-anak tetamu yang bertindak di luar kawalan termasuk merosakkan harta benda di dalam rumah.
Adakalanya tuan rumah segan hendak menegur, apatah lagi ibu bapa hanya melihat tanpa melarang anak masing-masing.
Menurut Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, adab ketika berada di rumah orang adalah penting dan ia perlu bermula daripada ibu bapa.
“Ibu bapa perlu tahu adab ketika berada di rumah orang, di sinilah peranan mereka, jangan ibu bapa sama ‘naik’ dengan anak-anak.
“Menjadi tanggungjawab mereka untuk awasi anak-anak daripada mengganggu dan merosakkan barangan milik tuan rumah. Pesan kepada anak supaya jaga tingkah laku.
“Kita tidak mahu acara yang sepatutnya merapatkan silaturahim berakhir dengan perbalahan,” katanya.
Menurut Mohd. Izhar, golongan ibu bapa sepatutnya menjadi contoh dan menunjukkan teladan yang baik kerana ia akan ditiru oleh anak-anak.
“Jangan bazir makanan, jangan makan terlalu banyak sehingga menyusahkan tuan rumah seterusnya jangan banyak ‘songeh’ seperti menegur makanan dan suasana rumah diziarahi,” katanya.
Sementara itu, Pakar Psikologi dan Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali mengakui memang wujud segelintir ibu bapa yang bersikap permisif.
“Golongan ibu bapa permisif ini adalah mereka yang melihat sahaja tanpa melarang selain membiarkan anak-anak mereka menentukan cara yang terbaik menyelesaikan masalah.
“Mereka hanya ambil tahu sekiranya masalah tersebut mula menjadi besar dan akan melindungi anak masing-masing jika berdepan dengan masalah, namun mereka tidak pula ingin tahu punca mengapa ia berlaku.
“Jenis ibu bapa sebegini yang menjadi trauma bagi segelintir tuan rumah ketika mereka menganjurkan rumah terbuka pada musim perayaan,” katanya.
Pun begitu, Shazli berkata, perkara tersebut boleh dikawal sekiranya anak-anak dibesarkan secara ‘autoritarian dan autoritatif’ iaitu ibu bapa serta anak-anak berbincang bagi mencari penyelesaian sekiranya sesuatu masalah itu timbul.
“Bagi melatih anak-anak ini dengan tingkah laku yang diterima masyarakat, ibu bapa perlu sedar dengan keperluan untuk mengamalkan cara didikan anak secara autoritatif.
“Kreativiti dalam membimbing anak penting dan ibu bapa perlu menjadi model yang baik buat anak-anak.
“Keperluan untuk mengenakan hukuman adalah perlu jika situasi yang berlaku itu dianggap melampaui batas,” ujarnya.














