TART nanas, baik berbentuk klasik berbunga dengan inti di tengah kelopak mahupun moden bergulung menjadi antara kuih atau biskut raya yang paling digemari serta dicari masyarakat di negara ini semasa lebaran.
Penggemarnya bukan hanya terdiri daripada masyarakat Melayu, bahkan bukan Melayu juga sudah menjadikan biskut raya ini sebagai pilihan untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir sempena perayaan masing-masing.
Maka, tidak hairanlah potensi besar tart nanas itu menarik minat banyak pihak termasuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu di Negeri Sembilan untuk melengkapkan penghuninya dengan bidang kemahiran bakeri.
Menurut salah seorang penghuni atau disebut ‘klien’ Puspen yang hanya ingin dikenali sebagai Khairi, dia tidak pernah menyangka akan mahir ‘bermain’ dengan tepung dan nanas untuk membuat biskut raya.
Lelaki berusia 30-an yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu juga sudah lima bulan diberikan peluang untuk sama-sama menghasilkan pelbagai jenis biskut di Bakeri Titi Gold yang diusahakan oleh rakan senasibnya.
“Di sini, ada pegawai Puspen yang beri tunjuk ajar macam mana nak buat macam-macam jenis biskut. Mula-mula memang sukar sedikit sebab saya tak biasa nak dapatkan doh yang benar-benar sesuai.
“Jika dahulu, saya yang merupakan pemilik kedai makan hanya buat menu pelbagai jenis masakan di kedai, bukan biskut. Namun, akhirnya saya berjaya juga dan berasa sangat puas kerana biskut raya ini hasil air tangan sendiri,” katanya ketika ditemui K2 di bakeri itu.
Ujarnya yang masih belum berkahwin, peluang berada di dalam Puspen Jelebu itu juga mengajarnya untuk lebih bersemangat untuk melawan ‘ingatan’ terhadap dadah.
“15 tahun saya terjerumus dalam najis dadah. Dalam sebulan, tiga ke empat kali, saya akan dapatkan bekalan dengan harga RM700. Pernah cuba tinggalkan, namun bila ada masalah peribadi sahaja, saya akan ambil.
“Bila kena tangkap bulan Februari tahun lepas dan dirawat di sini, pegawai ajar saya cara kuatkan semangat untuk lupakan dadah. Sibukkan diri dan kerap bersolat,” katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.
Menurutnya, dia dijangka keluar dari pusat berkenaan selepas sambutan hari raya Aidilfitri dan tidak sabar untuk meneruskan pencarian rezeki menerusi pembuatan biskut.
“Bukan hanya tart nanas, di sini kami turut belajar membuat biskut coklat cip dan red velvet. Saya rasa tenang membuatnya, macam terapi,” katanya.
Bagi seorang lagi penghuni, Norman, 28, dia sememangnya sangat berminat untuk mempelajari cara membuat pelbagai jenis biskut dan telah memohon kepada pegawai untuk menyertai bakeri.
“Sebelum ditangkap, saya bekerja di kafe makanan Barat dan membuat kerja jualan motosikal secara sambilan. Buat biskut belum pernah lagi tapi saya sangat berminat.
“Alhamdulilah, dah empat bulan saya belajar kemahiran ini dan sebulan lalu, saya terpilih menjadi pengawas bagi projek bakeri ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia bermula dengan mempelajari cara menggentel jem sebelum membancuh doh, menggulung tart dan menyapu telur.
“Kini saya hanya memantau saja kerja rakan yang lain. Kalau hari biasa kami beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang dengan 10 klien. Namun, pada bulan Ramadan, tempahan meningkat dan kami iaitu sekitar 12 klien mula beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 6 petang,” katanya.
Menurutnya, setiap hari mereka akan membuat sekitar 12 bekas tart nanas yang mempunyai 50 biji bagi setiap satu bekas dan kemudiannya meneruskan dengan biskut lain antaranya strawberi.
“Ikutkan saya dah 11 bulan di sini. Kalau kelakuan saya baik, rawatan selama 24 bulan akan dikurangkan seperti rakan-rakan lain. Malah, sejak di sini, saya yakin saya boleh pulih daripada ketagihan dadah.
“Saya mulanya ambil dadah lepas habis sekolah pada usia 18 tahun kerana sifat ingin tahu daripada rakan-rakan. Sudahnya saya jadi ketagih dan setiap hari akan mendapatkan bekalan heroin dan syabu,” katanya.
Menurutnya, bermula dengan seronok-seronok dia mula bergantung dengan dadah sehingga sanggup menghabiskan sekitar RM50 setiap hari untuk dadah.
“Memang susah nak berhenti tapi bagi yang sudah terjebak dan ada niat berhenti, jangan malu untuk datang secara sukarela ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di setiap daerah.
“Mereka di sini mengajar kita bagaimana untuk pulih daripada dadah dan membantu klien untuk bekerja serta mendapatkan kemahiran seperti kemahiran bakeri ini,” katanya yang berhasrat memulakan perniagaan dari rumah selepas keluar dari Puspen.
Menurutnya, dia amat berharap agar semua klien yang dilengkapi kemahiran membuat biskut sebaik keluar dari Puspen dapat mula mencari rezeki melalui bidang tersebut serta mengelak untuk bertemu dengan ‘kawan lama’ yang masih terjebak dengan dadah.
“Kena kuat semangat untuk kebaikan bersama. Kena kuat semangat sebab tak nak ‘jatuh’ balik. Bagi yang tak pernah cuba dadah tu, jangan cuba langsung. Bagi yang dah terjebak, pulihkanlah diri melalui bantuan AADK,” katanya.
Mengenai bekalan nanas bagi membuat tart, tumbuhan nanas itu boleh didapati di Puspen sendiri selain sumber-sumber dari luar.
Terbaharu, sebanyak 20,000 pokok nanas telah ditanam bermula awal tahun ini dan dijangka akan menerima hasil bermula dari bulan Oktober sehingga penghujung 2025.
Anggaran hasil jika tiada serangan penyakit dan pokok tumbuh dengan baik adalah lebih RM80,000 dengan harga jualan secara borong sama ada RM3 atau RM4 sekilogram mengikut gred serta harga pasaran luar yang boleh mencecah RM7 sekilogram.
Untuk rekod, keluasan keseluruhan tanah di Puspen Jelebu ialah 104 ekar (42 hektar) di mana 40 ekar (16 hektar) adalah kawasan pentadbiran dan fasiliti asrama klien, selebihnya adalah tanah pertanian berbukit iaitu lima bukit untuk tujuan pertanian.
Terdahulu, pada tahun 2014 Puspen Jelebu mengusahakan 25 ekar (10 hektar) tanah meliputi tiga bukit iaitu Bukit 1, 2 dan 3. Bagaimanapun, hasil nanasnya berkualiti gred rendah ekoran penggunaan tanah selama tujuh tahun tanpa direhatkan dan dirawat.
Oleh itu, Puspen Jelebu mengadakan kolaborasi bagi mendapat nasihat cara penanaman nanas yang betul dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Pejabat Pertanian Jelebu.
Puspen meneroka Bukit 4 dan 5 pada tahun 2021. Melalui kerjasama dengan LPNM, Puspen Jelebu mendapat bekalan Anak Benih Nanas MD2.















