fbpx

Anwar pengerusi mesyuarat khas pastikan rakyat tidak terjejas perang Iran-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan isu perang Iran-Israel, hari ini. GAMBAR IHSAN FACEBOOK

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan situasi tegang di Asia Barat susulan peperangan antara Iran dan Israel.

Menurut Anwar, mesyuarat tersebut diadakan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terjejas dan juga merupakan bukti kerajaan Madani mengambil serius terhadap isu berkenaan.

Anwar berkata, pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

“Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel.

“Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.

“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, setakat ini, peperangan antara Iran dan Israel memberikan kesan yang kecil kepada ekonomi negara.

“Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil, yang mencerminkan trend serantau.

“Walau apapun, kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin.

“Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama,” katanya.

Anwat menegaskan, isu ini perlukan penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan yang melanda Gaza.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain.

“Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan,” kata beliau.

Difahamkan, mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan lain.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, sumbangan Malaysia terbaharu kepada rakyat Gaza sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI