fbpx

Paras Empangan Air Itam kritikal, bertahan 30 hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empangan Air Itam kini berada pada tahap ketiga kritikal dan mampu bertahan 30 hari lagi.

GEORGE TOWN – Hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini tidak mampu menampung peningkatan paras Empangan Air Itam di sini, yang kini mencatatkan tahap ketiga kritikal iaitu pada kapasiti 30.8 peratus.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini memandangkan hujan tidak turun di kawasan tadahan air Empangan Air Itam, sebaliknya di lokasi lain di negeri ini.

“Paras empangan berkenaan juga menurun kerana air dari Empangan Air Itam turut diekstrak pada minggu ini bagi menampung permintaan pengguna yang tinggi pada musim perayaan ini.

“Setakat hari ini, paras Empangan Air Itam adalah pada paras 30.8 peratus iaitu tahap ketiga kritikal dan ia mampu bertahan sehingga 30 hari lagi,” katanya selepas menghadiri Karnival Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Bukit Bendera di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, setakat April ini hujan yang diterima adalah pada kadar 22.5 milimeter (mm) sahaja berbanding lingkungan 300mm pada sebelum ini.

“Tandanya ia (hujan) masih rendah lagi, jadi Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi mengekalkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam diteruskan bagi mengekalkan paras empangan sehingga mencapai kadar yang selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, operasi pembenihan awan juga tidak dapat memastikan hujan turun di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan seterusnya membantu meningkatkan paras empangan itu.

“Ini kerana kita tidak ada kawalan di mana hujan turun, ada hujan turun tetapi ia bukan di kawasan tadahan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI