JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 11 bulan dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkap sebuah flat di Bandar Uda Utama di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.30 pagi.
Mangsa dijumpai terbaring di kawasan tempat letak kenderaan di bawah flat berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat sofa di ruang tamu yang terletak berhampiran tingkap. Tingkap itu didapati berada dalam keadaan terbuka dan tidak berkunci semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka, kepala dan leher selain pendarahan dalaman. Kanak-kanak itu menerima rawatan di hospital dan dilaporkan kritikal.-KOSMO! ONLINE














