fbpx

Lelaki Israel mengaku tak salah berdagang 6 pistol, miliki 158 peluru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki warga Israel yang ditangkap memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru tiba di mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Israel yang ditahan di ibu negara kerana memiliki enam pucuk pistol bersama 158 butir peluru pada bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berkaitan senjata api dan peluru.

Tertuduh, Avitan Shalom, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, Shalom didakwa berdagang enam ssnjata api iaitu Glock 19 USA 9×10, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, N&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Bagi pertuduhan kedua, warga asing itu didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, satu kotak Bullet Master Co. Ltd mengandungi 50 butir peluru, satu kotak Bullet Master Co. Ltd mengandungi 50 butir peluru dan satu kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 50 butir peluru tanpa lesen atau permit.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 26 Mac pukul 6.46 petang dan 28 Mac pukul 6 petang di bilik nombor 1107, Hotel Four Seasons, Jalan Ampang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, manakala tertuduh diwakili peguam Navinjit Singh.

Dalam pada itu, Mohamad Mustafa memberitahu mahkamah pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan dan tiada bantahan daripada pihak peguam tertuduh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei ini.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T berwarna hitam tiba di mahkamah dengan menaiki trak pada pukul 8.10 pagi dan dikawal ketat oleh anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Turut hadir Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang berada di lobi utama kompleks mahkamah tersebut untuk memantau proses pertuduhan hari ini.

Isnin lalu, pasangan suami isteri yang ditangkap selepas dipercayai membekalkan senjata api kepada warga Israel itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Abdul Azim Mohd. Yasin, 43 dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI