PETALING JAYA – Serik meredah sesak lebuh raya balik ke kampung di Kelantan beberapa tahun sebelum ini menjelang hari raya, seorang pemuda dari Machang membuat keputusan untuk menunggang kapcai bagi raya tahun ini.
Zalisham Abdul Aziz, 33, berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan tidak lagi meredah balik kampung halaman dalam keadaan jalan sesak yang memakan masa selama berbelas jam dari Kuala Lumpur.
Jelas mekanik tersebut, sepanjang berada di ibu kota sejak 13 tahun lalu, ini merupakan kali pertama dia cuba untuk pulang ke kampung halaman dengan menunggang motosikal.
“Saya masih bujang jadi saya rasa tiada masalah untuk pulang ke kampung dengan motosikal, cuma halangan kali ini adalah cuaca yang agak panas.
“Keputusan pulang dengan kapcai ni sebab saya dah serik nak redah jem, beberapa tahun ini saya sampai ke kampung mengambil masa hampir 12 jam, kali ini saya nekad nak balik dengan motor sahaja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Zalisham, bukan sahaja isu redah jalan raya sesak semata-mata, malah pulang dengan motosikal juga dapat menjimatkan sedikit kos terutamanya bahan bakar dan selenggara.
“Rata-rata tahun ini, ramai yang katanya tiada ‘bajet’ sangat nak beraya, ramai pelanggan saya di bengkel pun sama katanya tahun ini ekonomi agak teruk.
“Raya ni apa yang penting adalah sampai dengan selamat di kampung dan berpeluang berkumpul sesama keluarga, yang lain tiada apa dah bagi saya,” katanya yang akan pulang ke kampung dengan kapcai Yamaha Lagenda semalam.
Dalam pada itu, seorang penjawat awam Mohd. Faisal Abd Jalil, 30, berkata, tahun ini merupakan tahun pertama dia berkhidmat di Kuala Lumpur selepas diterima dalam penjawatannya dalam salah satu kementerian.
“Saya kali pertama bertugas di Kuala Lumpur, sebagai orang baru ni saya takut nak minta cuti balik Kelantan dengan pihak pengurusan, jadi saya tunggu sahaja cuti yang diberi.
“Untuk beli tiket bas memang sudah tidak sempat, nak menumpang orang pun saya tidak tahu lagi bila saya dapat kebenaran cuti, jadi saya buat keputusan pulang ke kampung dengan motosikal Modenas saya.
“Jauh tu memang jauh, kampung saya di Pasir Mas, apakan daya tak mahu sesak dan tak mahu susahkan orang lain, jadi saya buat keputusan ini, janji saya sampai ke kampung,” ujarnya.














