fbpx

Perantau sudah tiba di kampung, laluan di Gua Musang kembali lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laluan trafik di jalan alternatif Gua Musang-Jeli bergerak lancar hari selepas perantau tiba di kampung halaman masing-masing semalam. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Aliran trafik di pintu masuk Kelantan di sekitar kawasan Gua Musang di sini kembali lancar dan terkawal hari ini apabila perantau sudah berada di kampung halaman mereka sejak semalam.

Tinjauan Kosmo! di laluan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai hari ini menunjukkan, jumlah kenderaan perantau dilihat berkurangan berbanding dua hari lalu.

Selain itu, Jalan Gua Musang-Jeli yang merupakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan untuk perantau ke daerah Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah juga lengang.

Seorang perantau, Muhamad Sabri Fazdzil, 45, berkata, dia menggunakan jalan alternatif Gua Musang-Jeli untuk pulang ke Tanah Merah bagi mengelak kesesakan lalu lintas ketika musim perayaan.

Katanya, dia mengikut saranan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan jalan alternatif berkenaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Bandar Gua Musang.

“Alhamdulillah, perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Kelantan lancar. Sebelum bertolak, saya bimbang akan menempuh kesesakan yang panjang, namun jangkaan saya meleset.

“Kenderaan yang menggunakan laluan di sempadan Merapoh, Pahang ke Gua Musang juga bergerak lancar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, jumlah kenderaan yang memasuki Gua Musang sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi dilihat berkurangan berbanding semalam.

“Hasil pemantauan anggota trafik mendapati, bilangan kenderaan sudah berkurangan berkemungkinan ramai perantau yang telah pulang awal kerana tempoh cuti yang panjang,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI