fbpx

PBAPP sedia lori tangki elak gangguan air semasa Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 13 lori tangki digerakkan ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Pulau Pinang sepanjang Aidilfitri ini.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggerakkan 13 lori tangki sebagai langkah siap siaga untuk mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air berjadual sepanjang perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, pihaknya menjangkakan penggunaan air yang tinggi iaitu bersamaan atau melebihi 927 juta liter sehari (JLH) semasa tempoh ‘balik kampung’ bermula semalam hingga Ahad ini.

“Rasional utama ‘Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024’ PBAPP adalah jangkaan penggunaan air yang tinggi sebelum dan semasa musim perayaan yang panas dan kering.

“PBAPP akan menggerakkan 13 lori tangki termasuk tiga lori Jumbo bersama 47 tangki statik di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) serta beberapa kejiranan kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di Relau dan Bukit Belah, daerah Barat Daya.

“Pada Februari lalu, PBAPP telah merekodkan purata angka penggunaan air iaitu 927 JLH di Pulau Pinang. 927 JLH adalah 50 JLH lebih tinggi daripada purata tahunan 877 JLH untuk 2023,” katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, kadar 50 JLH merujuk kepada jumlah air yang cukup untuk mengisi 20 kolam renang saiz Olimpik setiap hari atau 33,333,333 botol besar (1.5 liter) air minuman setiap hari.

“Seboleh-bolehnya PBAPP mahu mengelak berlakunya gangguan bekalan air. Kita juga ingin memohon kerjasama daripada pengguna-pengguna supaya menggunakan air dengan berhemat ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pulau Pinang masih mengalami cuaca panas dan kering yang menyebabkan simpanan air empangan berkurangan.

Setakat semalam katanya, paras air Sungai Muda di Kedah iaitu sumber air mentah utama Pulau Pinang mencatatkan bacaan 2.12 meter (m) di muka sauk Lahar Tiang iaitu melebihi ‘paras selamat’ iaitu 2.0m.

“Air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda pula diguna untuk mengeluarkan air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“ketika ini, kira-kira 85 peratus daripada 927 JLH air terawat yang digunakan oleh 689,786 pengguna air Pulau Pinang pada Februari lalu telah dikeluarkan di loji rawatan air tersebut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI