fbpx

Dua anggota Maritim Malaysia cedera dalam kejadian tembak-menembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu cedera dalam kejadian tembak- menembak di perairan Kunak. -Foto MARITIM

LAHAD DATU – Dua anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera dalam kejadian tembak menembak di perairan Kunak kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan berkata, kejadian berlaku di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

“Mangsa terbabit ialah Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, yang juga ketua bot Banggi 48 cedera di mata kanan manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin,35, cedera di kedua-dua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan pihak penjenayah.

“Empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 sewaktu bot berkenaan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan sempena Op Khas Pagar Laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Suzanna memaklumkan suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri bot dinaiki.

Menurutnya, suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut.

Sementara itu, beliau memaklumkan ekoran kejadian itu, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes berkenaan dan mengesan kesemua suspek terlibat.

“Kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak bagi diberikan rawatan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI