fbpx

‘Ubi kayu alternatif terbaik sementara isu beras putih tempatan selesai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (dua dari kanan) pada Jualan Termurah Madani di Taman Rekreasi Bandar Perdana di Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Rakyat tidak boleh terus bergantung kepada nasi memandangkan ia boleh diganti dengan makanan lain seperti ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ubi kayu mampu menjadi pilihan terbaik ketika ini sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

“Kalau beras jadi isu, apa tujuan beras kita makan? Untuk dapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras. Contoh saya pernah bincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai suplemen.

“Sebab ubi kayu ini khasiatnya hebat dibandingkan dengan gula yang ada dalam beras, ubi kayu jauh lebih rendah. Saya ada bincang, kalau kita dapat perkenalkan makanan suplemen ganti beras, buat lah ubi kayu. Di Sarawak saya difahamkan amat berjaya,” katanya selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, langkah itu juga boleh menjadi antara jalan keluar daripada kepompong sedia ada termasuk tidak membiarkan isu beras mengawal keadaan rakyat di negara ini.

Ini kerana katanya, rakyat di negara ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import.

“Jadi saya rasa sudah sampai masanya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka pintu untuk rakyat mengusahakan tanah terbiar dengan menanam pelbagai sumber makanan seperti sayur-sayuran.

“Apabila penawaran banyak sudah tentu harga akan turun, kita harus ada keberanian untuk mencuba, kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara amat hebat, kira-kira setahun lalu kita import hampir RM60 bilion, satu jumlah yang besar tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, BPT masih tidak berada dalam pasaran walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan stok bekalan makanan ruji itu diedarkan ke seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI