fbpx

Kenyataan MCCBCHST mengelirukan, jangan campur urusan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im.

PUTRAJAYA- Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) tidak wajar mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pandangan bahawa pindaan akta itu tidak berperlembagaan dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Dalam hal ini, beliau menasihatkan semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor pada 29 Disember tahun lalu agar rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Jelas beliau, semua pihak perlu merujuk kepada Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan peruntukan tersebut, Mahkamah Syariah ditubuhkan melalui Akta/Enakmen/Ordinan di Negeri-Negeri.

“Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Na’im berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Parlimen telah memperbuat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah.

“Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang di Negeri-Negeri bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

“Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, perlu difahami bahawa hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI