fbpx

Sidang Dewan Negara ditangguh, 17 RUU diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mutal ketika berucap di Dewan Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Negara melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama tiga minggu sejak 18 Mac lepas yang menyaksikan 17 rang undang-undang (RUU) diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutal Tagal berkata, sepanjang persidangan Majlis Dewan Negara kali ini, sebanyak 14 RUU telah dibawa dari Dewan Rakyat, manakala tiga RUU lagi dari sesi mesyuarat yang lepas untuk dipertimbangkan.

“Kesemua 17 RUU telah pun diluluskan. Saya ingin menyatakan rasa syukur bahawa dalam sesi pertama saya sebagai Yang Dipertua, sesi kali ini juga melakar sejarah apabila suatu pindaan substantif diperingkat Jawatankuasa sebuah-buah Majlis, Dewan Negara turut dipersetujukan,” katanya di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama baik dalam memastikan perjalanan mesyuarat kali ini berjalan lancar walaupun berlangsung pada bulan Ramadan.

Dalam ucapannya itu, Mutal berkata, mengikut rekod seramai 52 orang Yang Berhormat Senator telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja yang menyentuh isu-isu nasional dan berkepentingan rakyat secara menyeluruh melibatkan 28 buah kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri.

“46 orang iaitu lebih kurang 87 peratus dalam kalangan Ahli telah mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas 17 RUU yang telah dipersetujukan.

“Penglibatan yang sangat aktif ini amat membanggakan dan pastinya komitmen yang sangat tinggi ini meningkatkan kredibiliti Dewan dan membuka mata awam bahawa Dewan ini bukanlah ‘rubber stamp’ (dengan izin) semata- mata.

“Syabas saya ucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat Senator Dewan Negara yang berbahas dengan substantif dan konstruktif di dalam persidangan kali ini dan saya menyarankan agar momentum ini akan diteruskan pada sidang-sidang yang akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI