fbpx

K2

Perlukah bayar zakat fitrah bayi dalam kandungan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakat fitrah bagi bayi yang masih dalam kandungan adalah tidak wajib. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, pada bulan Ramadan ini, kita wajib mengeluarkan zakat fitrah. Jadi, saya mahu bertanya tentang hukum zakat fitrah. Adakah bayi yang masih di dalam kandungan diwajibkan untuk dibayarkan zakat?

Jawapan: Zakat fitrah adalah zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadan. Tempoh masa zakat ini adalah pada permulaan bulan Ramadan sehingga sebelum solat Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini dapat difahami melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi SAW bersabda: “Zakat fitrah adalah penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara lagha dan percakapan buruk. Ia juga adalah makanan bagi orang miskin.

Sesiapa yang membayarkan sebelum solat (Aidilfitri), maka zakatnya diterima. Sesiapa yang membayarkan selepas daripada solat, maka ia hanya dianggap sebagai sedekah.” (Riwayat Abu Daud, 1609)

Setiap Muslim yang mempunyai lebihan harta atau makanan pada malam raya dan pagi hari raya, maka dia wajib untuk membayar zakat fitrah. Sama ada tua, muda, lelaki mahupun perempuan.

Bahkan, seorang bapa atau suami wajib untuk membayar zakat fitrah bagi tanggungannya.

Ini berdasarkan kepada kaedah: “Sesiapa yang wajib baginya memberikan nafkah kepada orang lain, maka wajib untuk dia menanggung fitrahnya (zakat).”

Kembali kepada persoalan yang telah dikemukakan, zakat fitrah bagi bayi yang masih berada di dalam kandungan adalah tidak wajib.

Imam Al-Nawawi ketika mengulas berkenaan isu ini, beliau menyebut bahawa tiada zakat fitrah bagi bayi yang masih di dalam kandungan.

Begitu juga tidak wajib bagi bapanya untuk membayarkan bagi pihaknya.(Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 6/139).

Ini juga merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Ramli dan kebanyakan ulama bermazhab Syafi’i.

Berdasarkan dalil dan perbincangan yang telah kami kemukakan, kami menyimpulkan bahawa zakat fitrah tidak wajib bagi bayi berada di dalam kandungan.

Begitu juga tidak wajib bagi bapa untuk membayar zakat fitrah bagi pihak bayi tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman di dalam agama-Nya. Kita sentiasa berusaha agar Ramadan pada kali ini dapat diisi dan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI