fbpx

97 kilang langgar peraturan kena tindakan dalam Ops Gempur Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi ketika meninjau operasi sebuah kilang dalam Ops Gempur Raya di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Sebanyak 97 tindakan telah diambil terhadap kilang di seluruh negara yang didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 menerusi Ops Gempur Raya, setakat semalam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu berdasarkan statistik daripada 17 Mac dengan melibatkan 203 pemeriksaan pelbagai jenis kilang.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 39 kompaun bernilai RM78,000 telah dikeluarkan kepada kilang.

“Selain itu, kita melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan 50 notis arahan, penahanan operasi kelengkapan (5) dan tiga penyediaan kertas siasatan.

“Operasi ini merupakan usaha berterusan JAS dalam mencegah berlakunya insiden-insiden pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran air pada musim perayaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Gempur Raya di sebuah kilang sekitar daerah ini, hari ini.

Beliau memberitahu, antara kesalahan dikesan seperti pelepasan efluen perindustrian tidak terawat, pelupusan haram buangan berjadual serta melepaskan asp lebih daripada kadar ditetapkan.

Jelas Nik Nazmi, tumpuan akan diberikan kepada negeri-negeri yang mempunyai banyak kawasan perindustrian yang berisiko tinggi menyumbang kepada pencemaran.

“Ini termasuk kepada premis yang mempunyai tahap pematuhan rendah kepada AKAS 1974 atau premis-premis bermasalah dari sektor industri seperti pembuatan produk logam, kertas, makanan, kimia, berasaskan getah dan plastik.

“Tumpuan juga turut diberikan kepada premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin pindaan AKAS bagi fasa 1 yang menaikkan penalti denda sehingga RM10 juta akan diwartakan pada tahun ini.

“Pindaan fasa pertama telah diluluskan Dewan Rakyat dan dibawa ke Dewan Negara hari ini. Insya-Allah akan diwartakan tahun ini.

“Kenaikan denda kepada RM10 juta daripada RM100,000 itu merupakan kenaikan ketara dan turut melibatkan kesalahan pencemaran,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI