fbpx

Fast Track pencetus emas sulung Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELBAGAI usaha dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memastikan atlet negara benar-benar bersedia terutama dalam persiapan ke Sukan Olimpik.

Selepas Program Podium diperkenal pada 2015 hingga kini, KBS kini mengorak langkah apabila menambah inisiatif baharu iaitu program Road To Gold (RTG) untuk menjelmakan emas pertama dalam temasya Olimpik Paris 2024 dan juga Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Tidak cukup dengan itu, Jawatankuasa RTG turut menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memperkenalkan program Fast Track bagi melahirkan atlet muda berbakat baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Langkah awal itu adalah satu mekanisme terbaik terutama buat skuad skuasy negara memandangkan sukan itu akan dipertandingkan di Sukan Olimpik LA2028.

Bekas bintang skuasy wanita negara, Low Wee Wern menyambut baik program Fast Track dalam usaha kita untuk menjelmakan pingat emas.

Katanya, melalui program latihan intensif dan sokongan holistik dalam tempoh empat hingga lima tahun, ia membolehkan atlet bersedia untuk bersaing di peringkat tertinggi nanti.

“Saya rasa program yang dibangunkan ketika ini adalah baik kerana untuk mencipta kilauan pingat di Olimpik, kita memerlukan perancangan dan program jangka panjang untuk membangunkan atlet.

“Jadi, ada baiknya atlet negara memulakan langkah lebih awal dan saya berharap dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, mereka mampu mencipta kejutan.

“Mengenai pingat emas Sukan Olimpik 2028, sememangnya ia adalah impian semua atlet skuasy ketika ini untuk mencipta sejarah di sana,” katanya.

Sementara itu, legenda skuasy negara, Datuk Nicol David turut gembira kerana empat pemain negara iaitu Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman tersenarai dalam program berkenaan.

Nicol yakin selepas berakhirnya Olimpik Paris 2024, pelbagai perancangan akan disusun KBS biarpun ketika ini persatuan telah memulakan langkah kerja lebih awal.

“Fast Track adalah langkah pertama. Selepas Paris 2024 nanti, banyak peranca­ngan akan disusun buat mereka.

“Atlet yang layak dalam program ini adalah atlet muda dan berbakat yang berpotensi untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik LA28.

“Kita akan lihat secara keseluruhan kerana dalam tempoh empat tahun ini banyak kita boleh buat perubahan. Kita juga akan beri tumpuan setiap tahun dan buat semakan sekiranya mereka layak berada dalam program utama RTG.

“Jadi, dalam tempoh ini mereka yang terpilih perlu memberi tumpuan Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang. Itu adalah penanda aras buat mereka sebelum ke ­Olimpik LA28,” ujarnya.

Jadi, bagi penulis ini adalah masa terbaik bagi atlet terus bekerja keras untuk berada dalam program tersebut dan seterusnya berjuang habis-habisan kerana segala keperluan terutama soal kelompongan membabitkan keperluan atlet negara tidak dijadikan alasan lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN