SIAPA tidak kenal dengan figura yang meledak bersama kumpulan rap K-Clique, MK.
Sebelum bertukar status bergelar suami orang, lelaki Sabah itu pernah menjadi kegilaan ramai wanita.
Jika dahulu pemilik nama penuh Muhammad Hairi Amin Hamdan itu sentiasa dihambat persoalan siapa wanita bertuah yang bertakhta di hati, kini hidupnya diasak pula dengan pertanyaan lain.
Hampir setahun mendirikan rumah tangga, tempoh tersebut wajar dirasakan khalayak untuk merisik perkembangan normal bagi pasangan suami isteri, sudahkah suri hatinya itu berbadan dua.
Perubahan fizikal isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin menerusi beberapa perkongsian foto dalam platform media sosial tambah meyakinkan netizen bahawa wanita itu sedang hamil.

Doa baik-baik
Tidak mengiakan mahupun menafikan, penyanyi tinggi lampai hanya meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat dia dan isterinya
Kata lelaki berusia 29 tahun itu, peminat tidak perlu berteka-teki kerana dia pasti akan berkongsi sebarang perkembangan apabila sudah tiba masa yang sesuai kelak.
“Persoalan ini sebenarnya sudah ramai yang bertanya, apa yang boleh saya katakan, insya-Allah doakan yang baik-baik.
“Peminat pun jangan risau atau berkecil hati, saya pasti akan kongsi apabila sudah tiba masa yang sesuai nanti.
“Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata, saya percayakan rezeki Allah. Buat masa sekarang mohon doakan yang terbaik,” katanya ringkas.
Melihat wajah MK seperti kurang selesa apabila berterusan diasak soalan berkaitan kehamilan dan zuriat, penulis sempat bertanyakan tentang sambutan Ramadan tahun pertama bersama isteri.

didakwa sedang berbadan dua dek perubahan fizikal yang ketara, MK hanya memohon doa yang baik-baik daripada orang ramai. Dia berjanji akan bercakap soal berkenaan apabila tiba saat nya nanti. – AMIR KHALID / INSTAGRAM MK
Sambut Ramadan berteman
Wajah yang tadinya kelat bertukar ceria. Kongsi MK, dia sangat teruja meraikan bulan mulia bersama kehadiran seorang teman hidup dan dapat fokus menjalankan ibadah bersama-sama.
“Tiada perancangan spesifik sepanjang puasa ini, cuma lebih fokus kepada ibadah.
“Saya ingatkan isteri supaya tidur dan bangun awal serta rancang apa yang boleh dilakukan selepas sahur.
“Saya juga harap jadual kerjaya seni dipermudahkan seperti sekarang ini.
“Syukur walau sibuk, tetapi tidak pernah ganggu waktu untuk ibadah.
“Jadi sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak mahu jadual kerja yang padat,” jelasnya.
Berkongsi tentang juadah pilihan ketika berbuka dan bersahur, pelantun lagu Sapu Rata itu lebih gemar menikmati hasil air tangan isteri di rumah.
“Isteri tahu kesukaan saya dan dia masak mengikut kesesuaian. Dia sangat bertanggungjawab apabila sanggup belajar memasak makanan kegemaran saya.
“Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang tahu memikul tanggungjawab sebagai suri rumah dengan baik.
“Alhamdulillah, rasanya bab juadah berbuka dan sahur memang tiada masalah, tinggal lagi pemantapan ibadah sahaja, gandakan amalan sunat,” ujarnya panjang lebar.
Paling utama kata MK, bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Pencipta.
Selesai bab cahaya mata dan Ramadan, penulis sempat bertanyakan lelaki bermata sepet itu tentang kemelut yang melanda dirinya dan bekas anggota K-Clique, Tuju.

Berdamai
Enggan perbalahan mengeruhkan persahabatan, MK mengakui telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tuju atas segala khilafnya.
Ujarnya, salah faham yang berlaku antara mereka sebelum ini mungkin berpunca daripada kesilapannya. Dia bersyukur hubungan yang keruh kini kembali jernih.
“Sekali lagi saya memohon maaf secara terbuka kepada Tuju. Mungkin apa yang berlaku disebabkan kesilapan saya sendiri, saya hanya manusia biasa.
“Sebenarnya kami pernah bertemu tanpa sengaja ketika dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur sekitar tahun lalu.
“Semua ini adalah ketentuan Tuhan. Allah mengaturkan pertemuan tersebut dan di situ juga saya pernah meminta maaf kepada Tuju secara peribadi,” katanya kepada HibGlam.
Tidak menyangka perdamaian mencetuskan hubungan baharu kepada pelakon I Love You, Stupid itu apabila teruja dapat bekerjasama dengan Tuju dan tiga penyanyi rap lain iaitu Ghidd, Meerfly dan Benzooloo menerusi lagu Risiko terbitan Twntytwo Degree.
“Saya juga bersyukur dengan gabungan dalam lagu Risiko ini. Memang tiada perancangan mahupun apa-apa perbincangan sebelum ini.
“Kembali bersama Tuju adalah di luar jangkaan,” kongsinya seraya menutup bicara.














