fbpx

AG tolak representasi bekas pemain bola pukul teman wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rizal ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. - Foto FARIZ RUSADIO/KOSMO!

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan bekas pemain Sabah FC Mohd. Rizal Mohd. Ghazali bagi menggugurkan dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit bekas teman wanitanya di sebuah hotel tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Md Kamal pada sebutan keputusan representasi itu hari ini di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

“Pendakwaan mendapat arahan agar pertuduhan diteruskan dengan perbicaraan dan pernyataan-pernyataan akan dikemukakan jadi saya pohon satu tarikh perbicaraan,” kata Siti Maryam.

Surat representasi itu dihantar kepada AGC pada 6 Februari lalu.

Mendengar perkara itu, peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashraf yang mewakili Mohd. Rizal kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi perbicaraan.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Zhafran kemudian menetapkan 1 Julai ini bagi perbicaraan kes.

Pada 19 Jun lalu, Mohd. Rizal, 32, yang kini merupakan pemain pertahanan baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pemain pertahanan bagi kelab itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37,

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah bilik hotel di sini pukul 6 pagi pada 7 Jun tahun lalu (2023) yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd. Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik wanita sama sehingga menyebabkan kerugian RM4,500 pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang menperuntukkan hukuman maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 8 Jun tahun lalu, media melaporkan seorang pemain bola sepak Liga Super ditahan polis selepas dipercayai menyebabkan kecederaan terhadap bekas teman wanitanya, akibat perselisihan faham di dalam sebuah bilik hotel.

Terdahulu, tular seorang wanita
mendakwa dirinya dicederakan oleh kekasihnya yang juga seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan di sebuah hotel di daerah ini.

Pendedahan tersebut dibuat mangsa di akaun Instagramnya dengan memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan tangannya cedera dipercayai akibat pergelutan bersama teman lelakinya itu.

Dalam hantaran tersebut, wanita itu turut memaklumkan satu laporan polis sudah dibuat selepas mengalami kecederaan dipukul pemain pasukan bola sepak Liga Super itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI