PERJALANAN sepanjang 960 kilometer (km) di Lebuh Raya Utara-Selatan dijangka berdepan satu lagi episod kesesakan lalu lintas apabila bermulanya musim kepulangan anak perantau sempena sambutan Aidilfitri.
Situasi ini sudah menjadi resam setiap perayaan yang mana lebuh raya utama akan sesak dengan kenderaan persendirian dan awam yang ingin pulang ke kampung halaman.
Setiap tahun juga pihak penguat kuasa dan syarikat konsesi lebuh raya akan mengatur pelbagai pelan tindakan untuk mengatasi kesesakan jalan raya terutama di waktu puncak.
Perkara itu turut dlaksanakan oleh syarikat konsesi lebuh raya terbesar, PLUS Expressways Berhad bagi melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya terutama di Lebuhraya Utara-Selatan.
Bagi berkongsi pandangan tentang perkara ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Nik Airina Nik Jaffar yang turut mengulas tentang perancangan mereka bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
KOSMO! AHAD: Menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, apakah yang boleh dijangkakan oleh PLUS terutamanya jumlah kenderaan yang akan menggunakan lebuh raya PLUS di seluruh negara?
NIK AIRINA: Sudah pasti setiap kali musim perayaan lebuh raya akan sibuk dengan kenderaan yang ingin pulang ke kampung halaman dan kembali ke ibu kota terutama ketika waktu puncak iaitu pada 5, 6 dan 9 serta 12 hingga 14 April 2024.
Pada musim perayaan tahun ini kami menjangkakan peningkatan trafik kepada 2.1 juta kenderaan yang bakal menggunakan lebuh raya PLUS di waktu puncak berbanding 1.82 juta pada hari biasa.
Kebiasaannya Lebuh Raya Utara- Selatan ke arah utara mengalami kesesakan teruk. Dengan pembukaan lebuh raya West Coast Express (WCE), mampukah ia mengurangkan kesesakan di PLUS?
Berdasarkan perkongsian daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dengan pembukaan seksyen 11 di WCE, ia bakal menjadi laluan alternatif kepada pengguna dari Kuala Lumpur ke arah utara.
Laluan ini juga merupakan alternatif kepada laluan Terowong Menora yang sering merekodkan kesesakan tinggi.
LLM juga menjangkakan dengan pembukaan WCE bakal memberi impak kepada kesesakan trafik terutama di Lebuh Raya PLUS kawasan Utara.
Meskipun pelaksanaan pembayaran secara automatik semakin meluas untuk pembayaran tol, namun masih berlaku kesesakan dan kenderaan berbaris panjang. Mengapakah perkara ini masih berlaku dan apakah cara untuk mengatasinya?
Bagi isu ini, LLM tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan sistem pada pembayaran secara automatik yang boleh menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di plaza tol.
Namun begitu, LLM turut melakukan persediaan dari segi kakitangan, peralatan dan juga sistem untuk sebarang kemungkinan jika berlaku kesesakan disebabkan sistem yang tidak efisien pada masa tersebut.
Semua lorong di plaza tol juga akan beroperasi sepenuhnya bagi memberikan transaksi yang lancar buat pengguna.
Setiap kali hari raya, lori dinasihatkan tidak menggunakan lebuh raya utama. Namun, kita dapati masih ada saja lori di atas jalan. Mengapakah perkara ini berlaku?
Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mewartakan larangan kenderaan berat, namun ia dikecualikan buat penghantaran barang penting seperti minyak petrol, barang basah serta perubatan.
Larangan kenderaan berat akan bermula pada 8 dan 9 April, seterusnya dilanjutkan pada 13 hingga 14 April 2024.
Tindakan akan diambil kepada kenderaan berat yang melanggar larangan ini pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan termasuk dengan menyita kenderaan tersebut.
Boleh Datuk ulas mengenai laluan Smart Lane yang dirintis oleh PLUS bagi menguraikan kesesakan? Ini kerana masih ramai tidak tahu kewujudan alternatif berkenaan? Boleh Datuk ulas alternatif ini?
Laluan Smart Lane merupakan lorong tambahan yang dibuka di 18 lokasi terpilih sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan sebagai langkah untuk menyuraikan kesesakan pada waktu puncak.
Lorong tambahan ini merupakan lorong paling kiri yang diberi kebenaran untuk digunakan secara berkala pada waktu siang terutama pada waktu puncak.
Bagi mengetahui bahawa Smart Lane boleh digunakan oleh pengguna atau diaktifkan, kita telah memasang lampu isyarat hijau di papan tanda peringatan Smart Lane.
Jika lampu isyarat hijau itu berkelip, maka Smart Lane telah diaktifkan dan boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.
Kita juga menyediakan lebih banyak papan tanda di semua lokasi Smart Lane bagi menambah baik pemberitahuan kepada pengguna.
Sekiranya berlaku kerosakan kenderaan di PLUS, apakah yang patut dibuat oleh pemandu atau penunggang motosikal. Ini kerana ia dibimbangi akan menyebabkan kemalangan sekiranya berhenti di tepi jalan.
Dalam situasi kerosakan kenderaan di lebuh raya, pengguna kenderaan atau motosikal boleh mendapatkan bantuan daripada pasukan PLUSRonda.
Pasukan PLUSRonda boleh dihubungi menerusi talian 1800 88 0000 atau menggunakan telefon kecemasan berwarna jingga yang terdapat pada setiap 2km di sepanjang lebuh raya.
Mereka juga boleh menggunakan fungsi SOS di aplikasi PLUS untuk mendapatkan bantuan.
Salah satu punca kesesakan adalah kemalangan. Apakah langkah yang boleh dilakukan oleh mangsa bagi mengelak laluan terhalang? Adakah PLUS mempunyai kakitangan mencukupi untuk menghuraikan trafik jika berlaku kemalangan pada musim perayaan?
Kemalangan sememangnya menjadi salah satu punca kepada kesesakan lalu lintas dan dalam situasi ini sekiranya ia kemalangan kecil, mangsa disarankan supaya mengalihkan kenderaan di lorong kecemasan bagi mengelakkan halangan di lebuh raya.
Kemudian, mereka boleh menghubungi pihak PLUS menerusi talian bebas tol atau aplikasi PLUS untuk mendapatkan bantuan.
Namun begitu, khas untuk perayaan Aidilfitri berbanding hari biasa, PLUS akan menempatkan 11 lokasi strategik iaitu pasukan bantuan kecemasan (ERP) yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan ambulan St.John untuk memberi bantuan segera ketika kecemasan atau kemalangan.
Dengan adanya pasukan ERP ini ia dapat mempercepat proses pengalihan dan penundaan kenderaan.
Sebelum ini ada rungutan bahawa ketika musim perayaan, kerja-kerja penyelenggaraan jalan masih dilakukan. Boleh Datuk ulas mengenai permasalah ini?
Sebenarnya, bermula 1 hingga 17 April ini, semua kerja penyelenggaraan di laluan utama akan diberhentikan bagi memberikan kelancaran kepada lalu lintas di lebuh raya. Sepanjang tempoh tersebut juga tiada penutupan lorong akan dilakukan terutama pada waktu-waktu puncak.
Pada musim perayaan, kita dapati kawasan rehat dan rawat (RNR) penuh dengan orang ramai sehingga ada yang berbaris panjang untuk masuk ke tandas. Apakah usaha dilakukan bagi mengatasi masalah kesesakan di RNR ini?
Bagi kawasan RNR, tidak dinafikan ia biasanya sesak terutama semasa musim perayaan. Bagi mengatasi kesesakan ini, kami menggunakan khidmat pihak RELA yang akan bertugas di RNR untuk membantu mengawal kelancaran trafik di sana.
Namun begitu, saya ingin mengingatkan kepada semua pengguna kemudahan tandas dan surau turut terdapat di semua plaza tol persimpangan bertingkat.
Jadi, jika berlaku kesesakan di RNR, pengguna boleh masuk ke plaza tol berdekatan untuk menggunakan tandas atau ke surau dan masuk kembali ke lebuh raya tanpa caj tambahan.














