fbpx

Mainoo bintang masa depan England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAINOO (kiri) turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan ketika seri 2-2 dengan England di Wembley awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate me­ngakui terpukau dengan impak pemain remaja Manchester United, Kobbie Mainoo selepas me­nyaksikan pasukannya seri 2-2 bertemu Belgium pada aksi persahabatan awal pagi semalam.

Pada perlawanan di Stadium Wembley itu, The Three Lions terpaksa bekerja keras apabila meraih gol menerusi Ivan Toney dan Jude Bellingham, manakala pasukan pelawat meledak dua jaringan melalui Youri Tielemans.

Lebih menarik, Mainoo yang berusia 19 tahun telah diletakkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama untuk mengemudi jentera tengah bersama kapten, Declan Rice dan Bellingham.

Menurut Southgate, apa yang ditawarkan oleh Mainoo cukup unik kerana dia telah memberi dimensi berbeza buat pasukan khususnya dalam usaha mendominasi posisi tengah.

“Saya sangat teruja melihat prestasi Mainoo dan saya lihat dia seorang pemain yang cukup unik. Kami tidak pernah memiliki pemain tengah dengan kualiti sepertinya.

“Dia telah membantu pasukan untuk mengekalkan penguasaan bola. Dia juga tidak mempunyai masalah beraksi dalam tekanan bagi mendapatkan bola daripada pasukan lawan,” katanya.

Selain itu, Southgate turut mengakui beberapa pemain baharu seperti Jarrod Bowen dan Toney juga tampil cemerlang dan boleh diserapkan dalam skuad ke Kejohanan Euro 2024 nanti.

“Saya sangat positif dengan dua aksi persahabatan yang diharungi dan ramai pemain dilihat bersedia untuk merebut tempat ke Euro 2024 yang akan berlangsung, Jun depan,” kata­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI