fbpx

Kerajaan perlu laksana pembaharuan fiskal, tumpu penyasaran subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mempengerusikan Mesyuarat FPC semalam.

PUTRAJAYA- Kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh bagi membolehkan Malaysia menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembaharuan fiskal itu akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil.

Katanya, ia bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Madani juga akan menoktahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan keyakinan pelabur luar.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) hari ini, ahli jawatankuasa senada untuk memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang kerajaan serta memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan yang menjadi pusat rujukan utama pelabur pasaran,” katanya dalam hantaran di laman Facebook tadi.

Terdahulu, Anwar menjelaskan telah mempengerusikan Mesyuarat FPC yang membincang dan meneliti senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana kedudukan fiskal negara.

“Saya maklum bahawa langkah reformasi fiskal ini adalah sesuatu yang berat bagi kita semua, namun usaha ini perlu dimulakan untuk merancakkan semula ekonomi negara yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu.

“Hakikatnya, dengan hasil cukai sebanyak 11.8 peratus sahaja daripada KDNK, kerajaan punyai ruang terhad untuk melabur dalam aspek pembangunan rakyat dan memberi bantuan sewajarnya kepada golongan rentan serta memerlukan,” jelasnya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour serta pegawai kanan Kementerian Kewangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI