fbpx

Jangan takut, kena berani bab duit – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA akan lebih berhati-hatri dan lebih tegas bercakap soal duit selepas ini.

PETALING JAYA – “Kena berani bincang untung rugi konsert, harus ada hitam putih.”

Demikian penegasan penyanyi Aina Abdul berhubung iktibar berdepan penipuan penganjur konsert A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA) yang berlangsung pada 18 November tahun lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Berdasarkan perhatian dan pengalaman sendiri, Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, menyifatkan kebanyakan penyanyi takut untuk bercakap soal duit secara lebih terbuka bersama mana-mana pihak, khususnya penganjur acara atau konsert.

Kata Aina, apa berlaku kepadanya berpunca daripada kurang kematangan dan kesilapan pemahaman dengan pihak penganjur.

“Duit, kos dan untung rugi adalah perkara yang sangat penting. Perlu jelas dengan soal perniagaan muzik sebab banyak sangat benda berlaku.

“Apa yang berlaku pada saya adalah apabila sudah separuh jalan baru tahu perkara yang dipersetuju berbeza dengan pemahaman saya. Itu yang saya belajar.

“Saya tidaklah matang sangat dalam industri baru beberapa konsert saja, tetapi sekarang adalah masa ramai penyanyi selesa untuk mengadakan konsert jadi, pesanan saya pastikan bincang soal duit dan harus ada hitam putih (kontrak),” kata Aina.

Aina mengakui, konsert ANWAA 3.0 yang diadakan tahun lalu langsung tidak memberi sebarang keuntungan kepadanya.

“Sebenarnya saya masih tidak jelas sampai sekarang. Kalau tanya saya di mana keuntungan, saya tidak rasa apa-apa.

“Jadi, kita lihat macam mana rezeki akan datang kalau perkara ini (ditipu penganjur) boleh diselesaikan tetapi buat masa ini masih terumbang-ambing,” ujar Aina.

Meskipun ditipu, penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Mati Rasa Itu memilih untuk tidak membawa perkara berkenaan ke muka pengadilan.

“Saya sendiri pun banyak kesilapan. Malah, pihak saya sendiri tidak berapa tegas dan tidak pandai dalam urusan bisnes.

“Jadi, saya tidak akan ambil sebarang tindakan hanya ‘move on’ sahaja dan buat benda lain pula,” kata Aina pasrah.

Biarpun memilih untuk merehatkan seketika jenama A Night With Aina Abdul ekoran kejadian tersebut, Aina menegaskan dia tidak serik untuk bekerjasama dengan pihak lain selepas ini.

Enggan kejadian yang sama berulang lagi, Aina dan pihak pengurusannya kini lebih berhati-hati pada masa depan.

“Saya masih perlu bekerjasama dengan pihak lain kerana syarikat saya masih belum kukuh. Cuma saya akan lebih berhati-hati dan akan lebih kuat serta ambil tahu semua benda.

“Malah, saya akan pilih betul-betul orang yang akan mewakili saya, supaya semua perbincangan lebih jelas dan tiada perkara disembunyikan,” tutur Aina.

Dalam perkembangan terbaharu selain muncul dengan lagu Jalan-Jalan Hari Raya, Aina kini sibuk membuat persiapan untuk konsert bersama Malaysian Phiharmonic Orchestra (MPO) yang dijadual berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei 2024. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI