fbpx

Teliti isu gaji pelakon kanak-kanak, pastikan mereka dilindungi – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi memandang serius statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkenaan 73.13 peratus penerbit filem tidak peka terhadap keperluan permohonan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda bukanlah merupakan syarat keperluan di dalam permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menurut beliau, sebagai langkah proaktif, Finas akan turut memberi perhatian terhadap aspek tersebut semasa melaksanakan aktiviti pemantauan oleh unit penguatkuasaan di lokasi-lokasi penggambaran.

“Oleh itu, Kementerian Komunikasi melalui Finas komited untuk bekerjasama dengan Kesuma bagi meneliti penambahan syarat lesen tersebut dalam permohonan SPP serta Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) tahun 1983 berkaitan penglibatan kanak-kanak sebagai pelakon di dalam sesebuah produksi,” ujarnya.

Fahmi berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan Senator Datuk Noraini Idris mengenai mekanisme yang dilaksanakan untuk memastikan setiap penerbit filem benar-benar mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda sebelum mengambil seorang kanak-kanak sebagai pelakon.

Tambah Fahmi, pihaknya juga bakal meneliti isu gaji bagi pelakon kanak-kanak untuk memastikan hak-hak mereka dilindungi.

“Finas sedang meneliti beberapa pindaan akta termasuk Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) untuk tambah baik isu kanak-kanak dan orang muda yang terlibat dalam penggambaran, selain isu kebajikan seniman, veteran dan kru penggambaran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung langkah bagi melindungi hak dan keselamatan pelakon kanak-kanak di Dewan Negara.

Terdahulu, DOSM melaporkan kira-kira 73.13 peratus syarikat yang terlibat dalam filem dan drama tidak tahu mengenai keperluan mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda sebelum menggajikan pelakon dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kajian mengenai penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem dan drama di Semenanjung Malaysia juga mendapati 52.9 peratus syarikat tidak pernah memohon Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda, dan 47.1 peratus tidak pasti berkenaan dengan permohonan lesen itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI