fbpx

Dua saksi kes rasuah bekas Setpol Mat Sabu didenda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamad Sabu, masing-masing didenda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan bercanggah semasa perbicaraan kes itu pada tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Zainudin Abdul Majid, 53, dan Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, selepas kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan Zainudin dipenjara 20 bulan manakala Ahmad Hisham dipenjara 12 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda dan membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Zainudin didakwa atas dua pertuduhan memberikan keterangan tidak selaras pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Mohd. Azhar Che Mat Dali, dengan pernyataan yang diberikan kepada Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shamsudin Md Noh.

Tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 April 2023, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 November 2022.

Sementara Ahmad Hisham pula didakwa atas satu pertuduhan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan serupa pada 9 Mei 2023, manakala keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 2 November 2022.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa rayuan, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon kedua-dua anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah kerana mereka menanggung keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh pula memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umumnya agar memberi keterangan yang telus kepada SPRM dan mahkamah.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira tentang kesan dan akibat kesalahan dilakukan tertuduh yang mana perjalanan perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 terkesan disebabkan masa dan kos pihak-pihak,” kata Muhammad Asraf.

Pada 12 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohd. Azhar, 53, daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di sebuah kementerian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI