SEJAK berusia 10 tahun, Muhammad Farhan Irfan Mohd. Razif sering berasa cepat penat.
Malah ibunya, Khairiah Talib, 46, turut menyedari bahawa anaknya tidak boleh aktif termasuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
“Ketika di sekolah, jika ada aktiviti merentas desa, dia hanya boleh berlari sekejap. Kemudian akan menaiki motosikal dengan gurunya.
“Pada ketika itu, saya masih belum mengetahui bahawa anak saya berhadapan dengan masalah jantung.
“Sehinggalah pada usia 16 tahun, saya dan suami membawanya berjumpa doktor atas sebab kesihatan.
“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, anak saya disahkan mempunyai masalah jantung,” katanya.
Tambahnya, sejak itu sudah menjadi rutin kepada anaknya untuk keluar dan masuk hospital bagi mendapatkan rawatan.
Kini, Khairiah boleh menarik nafas lega apabila anak kesayangannya itu telah menerima jantung baharu pada Januari lalu.
Selepas lapan bulan berada dalam senarai menunggu dan bergantung kepada ubat, akhirnya Muhammad Farhan telah berjaya dalam prosedur pemindahan jantung yang dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN).
Muhammad Farhan yang kini berusia 20 tahun berkata, setelah menerima jantung baharu, dia berasa seperti ada perubahan terhadap dirinya.
“Saya telah bersama dengan jantung baharu selama dua bulan dan masih perlu melalui proses pemulihan.
“Alhamdulillah, apabila mendapat jantung baharu ini saya rasa lebih baik dan kuat berbanding sebelum ini,” jelas anak bongsu dalam keluarganya itu.
Untuk makluman, baru-baru ini IJN telah berjaya melakukan pemindahan jantung terhadap dua orang remaja dan kini pesakit semakin pulih selepas menjalani pembedahan.
Kedua-dua pesakit itu didiagnosis dengan masalah non-ischaemic dilated cardiomyopathy iaitu penyakit otot jantung yang meregangkan dan menipiskan ruang jantung.
Masalah itu menyukarkan jantung mengepam darah ke seluruh badan dan kadangkala boleh mengakibatkan kegagalan jantung.
Muhammad Farhan merupakan salah seorang daripada dua pesakit yang berjaya menjalankan prosedur berkenaan.
Manakala pada 15 Januari lalu, seorang pesakit berusia 18 tahun tiba di IJN kerana keadaannya yang semakin teruk.
Sebulan kemudian, pesakit itu telah menjalani implantasi peranti bantuan ventrikel kiri (LVAD), membuka jalan untuk pemindahan berpotensi.
Ajaibnya, hanya lima hari selepas implantasi, penderma jantung yang sepadan telah ‘muncul’, sekali gus memberi harapan kepadanya.
Penggunaan teknologi perubatan termaju dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada pasukan perubatan IJN telah memainkan peranan penting bagi memastikan peralihan lancar daripada sokongan LVAD kepada pemindahan.
Peranti LVAD membantu mengepam darah dari ventrikel ke seluruh badan.

– Gambar hiasan
LVAD sering digunakan sebagai ‘jambatan’ kepada pemindahan jantung sementara pesakit menunggu penderma sesuai.
Dalam sesetengah keadaan, terutamanya bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung, namun tidak dapat menjalani pembedahan pemindahan, LVAD boleh berfungsi sebagai rawatan jangka panjang.
Sementara itu, Pengarah Klinikal Program Transplantasi Jantung, Paru-Paru dan Jantung Mekanikal IJN, Datuk Dr. Mohd. Nazeri Nordin memaklumkan, pemindahan jantung merupakan jalan terbaik bagi pesakit yang berhadapan kegagalan organ itu peringkat akhir.
“Jika kita hendak bandingkan, LVAD, lebih banyak komplikasinya.
“Pemindahan jantung adalah jalan terbaik yang mampu berfungsi seperti biasa. Pesakit hanya perlu makan ubat selepas itu,” terangnya.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Nazeri menjelaskan, risiko pembedahan pemindahan jantung tidak berjaya adalah empat peratus.
Namun, dalam kes Muhammad Farhan, risikonya kurang daripada itu kerana dia masih muda, selain jantung penderma juga baik dan pembedahan berjalan dengan lancar.
“Kesesuaian jantung juga sangat penting.
“Kita akan padankan jantung dari segi saiz dan sebagainya sebelum melakukan pembedahan.
“Muhammad Farhan kini masih dalam tempoh pemantauan. Pada tahun pertama, dia akan banyak keluar masuk hospital dahulu,” katanya.

Sementara itu, proses pemindahan jantung adalah sesuatu yang sukar.
Dr. Mohd Nazeri menjelaskan, pembedahan pemindahan jantung perlu dilakukan dengan cepat dan tangkas.
“Kita tidak boleh buang masa dan perlu selesaikan proses pemindahan dalam tempoh empat jam bermula daripada pengeluaran organ dari hospital penderma.
“Jika proses ini lebih dari empat jam, ada kemungkinan jantung yang dipindahkan itu gagal berfungsi dengan baik,” katanya.
Tambahnya, bagi kedua-dua kes pembedahan pemindahan jantung yang dilakukan itu, prosesnya agak cepat dan hanya mengambil masa dua jam.
Dalam pada itu, IJN kini merupakan satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan pemindahan jantung dan paru-paru serta implantasi jantung mekanikal dengan disokong oleh pasukan pelbagai disiplin.
Selepas merintis pemindahan jantung serta paru-paru di Malaysia pada 1997 dan 2005, IJN menjadi yang pertama di negara ini melakukan implantasi jantung mekanikal pada 2005.
IJN juga menjalankan pemindahan jantung-paru-paru pertamanya pada 2007.
Sehingga kini, pusat itu berjaya melakukan 29 pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung-paru-paru, 36 implantasi LVAD dan tujuh prosedur pemindahan LVAD-ke-jantung.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pihaknya gembira dapat meraikan dua kejayaan perubatan itu terutamanya selepas terhenti hampir enam tahun dalam pembedahan pemindahan jantung susulan kekurangan penderma.
“Kejayaan ini juga bukti kekuatan komuniti kita. Kami berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu mengubah kehidupan dua pesakit remaja ini.
“Ini termasuk Kementerian Kesihatan, Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelasnya.
Walaupun kedua-dua pemindahan jantung terbaharu itu menonjolkan kekuatan IJN dalam menguruskan kes jantung kompleks, namun ada keperluan kritikal untuk meningkatkan penyertaan penderma organ di Malaysia.
Di IJN sahaja, terdapat 22 pesakit sedang menunggu penderma yang sesuai ketika ini.
Dr. Aizai Azan menjelaskan, pesakit perlu menunggu lama kerana kekurangan penderma.
“Masalah kekurangan penderma ini bukan hanya di IJN, malah di seluruh dunia.
“Pendermaan organ ini penting kerana mereka memberi peluang kedua kepada pesakit untuk hidup,” katanya.














