PETALING JAYA – Cuaca panas yang melanda negara pada masa ini menyebabkan permintaan untuk pemasangan pendingin hawa meningkat dan memberi rezeki tambahan kepada pihak yang menyediakan perkhidmatan pemasangan dan servis peralatan itu.
Tinjauan Kosmo! di Kedah dan Kelantan mendapati, mereka tidak menang tangan untuk melakukan kerja-kerja pemasangan pendingin hawa ekoran permintaan pelanggan meningkat sekali ganda ketika ini.
Di Sungai Petani, Kedah, jurujual syarikat Suria Jerai Electrical, Lagenda Height, Mohd. Hanif Haikal Mohd. Nasir berkata, lebih 1,000 unit pendingin hawa pelbagai jenama telah terjual sejak awal Ramadan.
Katanya, jualan tersebut adalah rekod jualan pendingin hawa tertinggi yang pernah direkodkan syarikat itu bagi tahun ini.
“Jika ada jenama yang tiada stok, kami akan mencadangkan kepada pelanggan untuk membeli jenama lain pada harga dan kualiti yang sama.
“Pendingin hawa yang dijual di sini berharga antara RM899 hingga RM2,599 mengikut jenama dan saiz tidak termasuk caj pemasangan.
“Kita turut menyediakan sistem bayaran secara ansuran bagi pelanggan yang tidak mampu membayar secara tunai, namun kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai lebih memilih untuk membayar secara tunai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Pemilik syarikat Mesra Rezqi Bumi Hijau Air Cond Services, Zairol Hafifi Zainol yang menyediakan perkhidmatan untuk pemasangan pendingin hawa bagi negeri Kedah dan Pulau Pinang pula berkata, permintaan untuk perkhidmatan pemasangan pendingin hawa bagi kedua-dua negeri berkenaan meningkat sekali ganda ekoran cuaca panas pada masa ini.
“Sebelum ini saya hanya menerima tempahan untuk pemasangan kira-kira 10 unit pendingin hawa sahaja untuk sebulan, namun jumlah itu meningkat kepada lebih 20 unit sebulan sejak bulan lalu.
“Peningkatan mendadak ini menyebabkan adakalanya kami perlu bekerja sehingga larut malam kerana memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.
Seorang lagi pemilik syarikat pemasangan pendingin hawa, PM Zul Enterprise, Mohd. Zulkifle Samsudin memaklumkan, tempahan untuk pemasangan pendingin hawa bagi daerah Kuala Muda, Yan dan Pendang meningkat sekali ganda sejak awal Januari tahun ini.
“Trend peningkatan pemasangan pendingin hawa ini disedari bermula sejak awal tahun ini lagi dan dilihat semakin meningkat menjelang Ramadan.
“Kebanyakan pelanggan kami akan menempah pendingin hawa pada harga mampu milik iaitu sekitar RM1,300 hingga RM1,500 untuk pendingin hawa 1hp (horsepower),” jelasnya.
Dalam pada itu, di Kota Bharu, Kelantan, seorang kontraktor pendingin hawa, Mohamed Hairy Che Hamid, 30, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam kerja-kerja tersebut berkata, dia telah memasang sebanyak 60 unit pendingin hawa dalam tempoh sebulan berikutan orang ramai tidak tahan dengan cuaca panas ketika ini berbanding 30 unit sebelum ini.
Menurutnya, pemasangan itu mengikut permintaan pelanggan pada harga yang ditawarkan antara RM1,000 hingga RM2,500 seunit mengikut kuasa kuda pendingin hawa.
“Saya banyak menerima tempahan daripada pelanggan dari daerah ini, Tumpat dan Pasir Mas dan menyimpan banyak stok pelbagai jenis dan jenama pendingin hawa di pejabat. Ia memudahkan pergerakan saya sekiranya menerima tempahan daripada pelanggan,” katanya.














