fbpx

NACCOL gesa edaran beras putih tempatan disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Abu Hussin Hafiz (kanan) melakukan pemeriksaan mengejut bekalan beras di sebuah pasar raya besar di Kuala Terengganu, hari ini

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menggesa pengedaran 14 juta kampit beras putih tempatan ke pasar-pasar raya seluruh negara disegerakan seperti dijanjikan Seksyen Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Jumaat lalu.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, berdasarkan pemantauan pasukan Penggerak Madani, bekalan beras putih tempatan masih tiada di kebanyakan pasar raya di seluruh negara.

“Hanya sedikit pasar raya (di seluruh negara) mempunyai (bekalan) beras putih tempatan. Pemeriksaan mengejut saya di pasar-pasar raya di sekitar Kuala Terengganu hari ini juga dapati masih tiada beras putih tempatan.

“Saya dimaklumkan sudah empat bulan pembekal tidak hantar,” katanya selepas melakukan tinjauan beras di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, senario itu mengecewakan sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan 140,000 metrik tan beras putih tempatan berharga RM26 sekampit seberat 10 kilogram (kg) segera diedarkan ke pasaran pada 19 Mac lalu.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauannya hanya beras putih import yang berharga lebih mahal stabil di pasaran.

Walaupun begitu katanya, harga sekampit beras putih import sudah diturunkan antara RM2 dan RM3 sekampit, ia masih mahal berbanding beras putih tempatan cuma RM26 bagi 10 kg.

“Saya mohon pengedaran beras putih tempatan disegerakan sebab ramai pengguna mahu membeli menjelang Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Abu Hussin memberitahu pemantauan bekalan beras akan diteruskan oleh pasukan Penggerak Madani pada setiap dua hari sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI