fbpx
TETAP ada harga diri, kumpulan The Gadys anggap 'penghinaan' sebagai rahmat,

The Gadys bangkit dari ‘ke laut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HADIR mewarnai industri seni hiburan sejak 2022 menerusi single sulung sempena Aidilfitri, Gadys Raya, kumpulan yang pada awalnya dianggotai empat jelitawan itu memerlukan masa selama dua tahun untuk kewujudan mereka disedari ramai.

Ketika usia masih hijau, dua daripada empat ahli kemudiannya mengambil keputusan mengundurkan diri. Berbaki dua anggota, Aznie Azmi dan Ayunie Rizal tidak berpatah arang, sebaliknya terus memikul jenama The Gadys tanpa lelah.

Demi mahu terus ‘bernafas’, satu sesi uji bakat secara tertutup diadakan untuk mencari anggota baharu, sebelum adik bongsu The Gadys, Thamiera menyertai keluarga baharunya.

Ketika masih asing dalam kalangan peminat dunia muzik malah mungkin belum pernah mendengar nama The Gadys, kumpulan yang bernaung bawah syarikat rakaman, Universal Music Malaysia dan Valient Music itu, tiba-tiba menjadi bualan ramai.

Tragedi nyanyian sumbang dan vokal ‘ke laut’ kumpulan yang dianggotai Aznie, 26, Ayunie, 24, dan Thamiera, 21, ketika membuat persembahan secara langsung menerusi saluran TV2 sempena majlis Anugerah KNKV Viral Award 2024, menjadikan nama The Gadys sohor kini (trending) dalam media sosial.

KECAMAN dan hinaan netizen menjadi pembakar semangat buat The Gadys untuk membuktikan bahawa mereka juga layak bergelar penghibur. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kecaman itu ‘rahmat’

Bertitik tolak daripada tragedi nyanyian sumbang tersebut, The Gadys mula menjadi ‘bahan’ parodi dalam kalangan orang industri.

Terheret dalam kancah tular, habuannya tiga pucuk muda itu tidak habis-habis diterjang kecaman dan kutukan orang ramai.

Biarpun menjadi episod kelam yang tidak harus dibanggakan, ironinya sedikit sebanyak peristiwa itu menyedarkan orang ramai tentang kewujudan The Gadys.

Bagi ketiga-tiga anggota The Gadys, mereka sedih apabila dikutuk, dicaci dan dikecam atas kesilapan didakwa bukan silap mereka.

AYUNIE mengakui menangis akibat tidak tahan dikeji.

“Sedihlah. Siapa yang tidak sedih bila kena kutuk, dicaci dan dikecam.

“Sejujurnya kami bertiga menangis kerana dihina netizen.

“Namun, kami tidak boleh selamanya menangis dan kena bangkit untuk membuktikan bahawa kami sebenarnya layak untuk bergelar penghibur.

“Kami nak buktikan kepada masyarakat, bahawa kami boleh lakukannya.

“Kami anggap kecaman itu sebagai satu rahmat kepada kami juga,” kata Aznie.

THE GADYS dianggotai oleh (dari kini) Ayunie, Thamiera dan Aznie.

Suruh bunuh diri

Kata anggota berkulit hitam manis, Ayunie, mereka sebenarnya tiada masalah dan boleh menerima teguran untuk dijadikan rujukan, asalkan tidak melampaui batas.

Namun, apa yang dikesalkan, kecaman berlarutan sehingga menyentuh aspek fizikal masing-masing (body shaming), termasuk mengejek wajah mereka (face shaming).

Lebih teruk lagi, hanya disebabkan nyanyian sumbang, ada segelintir netizen tanpa belas kasihan menyuruh anggota The Gadys membunuh diri! Semudah itu.

“Ada kecaman mereka sangat melampau apabila mula menyentuh tentang fizikal. Lebih teruk lagi yang meminta kami supaya bunuh diri.

“Sampai begitu sekali kami dibenci. Mana pergi sifat kemanusiaan mereka apabila sanggup berkata begitu? Saya rasa apa yang dikatakan itu sangat melampau.

THAMIERA menjadi anggota ‘bongsu’ yang masuk mengisi kekosongan dalam The Gadys.

“Biarpun kami artis baharu, tetapi kami juga manusia yang punya hati dan perasaan.

“Nak hina nyanyian kami, sumpah kami okey sahaja. Tapi bila sudah menyentuh perkara-perkara lain sehingga suruh kami bunuh diri, itu sangat keterlaluan,” kata Aznie.

Celah Thamiera pula, walaupun usia masih lagi muda, dia berpendapat adalah tidak wajar untuk seseorang menyuruh orang lain mengakhiri riwayat, hanya disebabkan tahap nyanyia.

“Mereka pernah terfikir tak, jika orang yang kamu hina itu benar-benar membunuh diri? Netizen tidak tahu bagaimana keadaan kesihatan mental kami.

“Mereka tidak rasa, apa yang kami rasa bila berdepan dengan kecaman dan tohmahan tanpa henti sehingga membuatkan kami menangis.

“Jadi, saranan saya kalau rasa tidak ada perkara baik yang hendak diperkatakan, lebih baik jangan berikan sebarang komen,” katanya.

THE GADYS tidak mahu dilihat sebagai sebuah kumpulan wanita yang tidak berbakat dan hanya menempel dalam industri tanpa kelebihan tersendiri.

Hala tuju The Gadys

Menjadikan insiden ‘ke laut’ sebagai pembakar semangat, Aznie, Ayunie dan Thamiera tidak akan berundur daripada terus berjuang melayarkan bahtera The Gadys.

Mengetengahkan konsep M-pop (Malaysia pop), The Gadys mahu tampil dengan keunikan apabila membawakan kepelbagaian genre, termasuk tradisional, reggae dan pop rock dalam muzik mereka.

“Bila orang dengar lagu The Gadys, mereka boleh menikmati campuran muzik tradisional, reggae dan pop rock.

“Saya harap, konsep sebegitu akan menjadi identiti The Gadys. Kami tidak mahu membuktikan apa-apa. Cukup sekadar masyarakat tahu kami juga mempunyai bakat dalam bidang seni dan layak digelar penghibur,” kata Aznie.

Solekan: Vie Xenddra (@vxenddraisa_), Atie Jengka (@atiejengka) dan Iqbal Rafael (@iqbalrafael92)
Tatarias: nana. chahh (@nana.chahh)

Tambah Ayunie yang juga merupakan bekas pelajar di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), bersama dengan Aznie, dia juga mahu The Gadys dikenali sebagai penghibur versatile supaya dilihat memiliki kelebihan lain.

Pada penghujung kata, The Gadys berterima kasih kepada secebis peminat yang menyokong perjalanan seni mereka dengan meninggalkan komen bersifat positif untuk The Gadys terus berkarya.

“Bagi mereka yang membenci dan menghina, kami maafkan dan doakan yang terbaik untuk anda semua. Terima kasih banyak.

“Masih banyak lagi perkara yang mahu kami buktikan kepada semua, bahawa The Gadys mampu dan boleh,” tutup mereka.

AZNIE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN