fbpx

Semua agensi kerajaan diminta fokuskan keberhasilan projek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pelajar tahfiz pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KEDA di Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang di Pendang, hari ini. - Foto SHAHIR NOORDIN

PENDANG – Semua agensi kerajaan perlu menjadikan keberhasilan projek di bawah kementerian masing-masing sebagai agenda utama, berbanding sekadar memfokuskan jumlah projek yang dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keberhasilan projek perlu demi kepentingan rakyat termasuk dalam membantu golongan susah keluar daripada garis kemiskinan serta mewujudkan lebih ramai usahawan berjaya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sejak 1981 telah membelanjakan kira-kira RM2.31 bilion kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi menjalankan projek pembangunan untuk rakyat.

“Ini merupakan satu jumlah yang besar dan biarpun kita lihat terdapat hasil daripada projek-projek yang dijalankan, saya berharap Pengerusi KEDA yang baharu ini akan lihat daripada segi keberhasilannya.

“Saya yakin keberkesanan kos harus menjadi agenda utama, bukan hanya sekadar berapa projek yang telah dijalankan tetapi keberkesanan,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KEDA di Masjid Al-Falah di Felda Sungai Tiang, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, keberhasilan projek itu bukan sahaja perlu diselaraskan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, tetapi juga semua agensi di bawah kementerian lain.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berharap orang ramai dapat memberikan sokongan kepada pihak yang berkemampuan membawa perubahan baik kepada rakyat serta tidak bermain dengan retorik politik semata-mata.

Katanya, ia bagi memastikan tidak timbul rasa penyesalan dalam diri mereka yang memilih pihak yang menabur pelbagai janji, namun tidak mampu ditunaikan selain memfitnah dan menyalahkan orang lain atas kegagalan diri sendiri.

“Kita harap rakyat sedar, rakyat bangkit bahawa apabila gula-gula diberikan kepada rakyat yang akhirnya tidak sampai tempoh satu penggal, rasa penyesalan itu berlaku.

“Maka ini masanya kita berubah, kita bangkit, kita bangun, kita lakukan perubahan, kita sedarkan diri kita bahawa hanya mereka yang ada kemampuan, hanya kerajaan yang boleh melakukan perubahan, itu sahaja (pihak) yang patut diberikan dokongan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI